'Cina ada China, India ada India, Melayu hanya ada Tanah Melayu' - Sanusi | The Reporter

‘Cina ada China, India ada India, Melayu hanya ada Tanah Melayu’ – Sanusi

Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Noor ketika menyampaikan ucapan berkaitan isu ekonomi, politik dan kedudukan Melayu.
Muhammad Sanusi Md Noor

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Noor mendakwa orang Melayu berdepan cabaran dari segi penguasaan ekonomi dan politik, sambil mengingatkan mengenai kepentingan mempertahankan kedudukan serta identiti bangsa.

Beliau berkata, berbeza dengan beberapa kaum lain yang menurutnya mempunyai negara yang dikaitkan dengan asal-usul mereka, orang Melayu hanya mempunyai Tanah Melayu sebagai tempat yang menjadi akar sejarah dan identiti mereka.

“Cina ada China, India ada India, orang Kemboja ada Kemboja, orang Siam ada Thailand. Melayu di mana? Melayu di sini sahaja,” katanya.

Menurut Sanusi, penguasaan ekonomi orang Melayu semakin berkurang, manakala pengaruh politik juga didakwa semakin terhakis dari semasa ke semasa.

“Ekonomi sudah tak dapat dikuasai, politik pula semakin hari semakin terlepas daripada tangan kita.

“Kalau sebarang perubahan tak dibuat sekarang, bukan esok tetapi sekarang juga, negeri ini akan hilang dalam tempoh 10 tahun lagi,” katanya dalam ceramah perdana BN-PN di Jempol.

Beliau berkata, keadaan itu perlu diberi perhatian terutama dalam kalangan generasi muda yang menurutnya semakin kurang berminat terhadap politik.

Dalam ucapannya, Sanusi turut menggesa golongan muda supaya tidak mengambil mudah mengenai kepentingan penyertaan politik kerana perkara itu menurutnya berkait dengan masa depan bangsa dan negara.

Baca juga:

Beliau turut menyentuh sejarah penubuhan Persekutuan Tanah Melayu pada 1948 yang menurutnya menjadi asas kepada pembentukan identiti negara sebelum mencapai kemerdekaan.

Pada masa sama, beliau mengkritik DAP dengan mendakwa parti itu membawa gagasan ‘Bangsa Malaysia’ yang menurutnya bertentangan dengan identiti bangsa Melayu.

Beliau turut menggesa orang ramai, khususnya golongan muda, supaya lebih mengambil berat terhadap perkembangan politik dan tidak menganggap penyertaan dalam parti politik sebagai sesuatu yang sia-sia.

“Sesuatu mesti dibuat sekarang. Something to be done now. Kena buat sekarang,” katanya.

Related Posts