Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Pelakon terkenal, Fattah Amin, tampil menjelaskan kekeliruan mengenai kereta mewah Range Rover yang dipandunya.
Menurut Fattah, kereta tersebut bukanlah hadiah daripada bekas isterinya, Nur Fazura. Sebaliknya, kereta itu milik syarikat Fazura dan gajinya ditolak setiap bulan untuk membayar ansuran kereta tersebut.
“Dia hadiahkan kereta kepada saya? Salah tu. Kereta itu adalah daripada syarikat Fazura kerana saya bekerja di syarikatnya. Semua orang sedia maklum mengenai perkara ini.
“Sebenarnya gaji saya ditolak untuk membayar kereta Range Rover,” katanya.
Selain itu, Fattah menegaskan beliau mempunyai bukti transaksi bank yang menunjukkan beliau telah menjalankan tanggungjawabnya sebagai suami dan bapa.
Beliau juga meluahkan rasa kesal terhadap kenyataan Fazura yang mendakwa beliau mengabaikan tanggungjawab tersebut.
“Janganlah main sentimen itu. Saya ada bukti penyata bank mengenai ke mana wang saya dikeluarkan.
“Mungkin dia rasa tak cukup untuk dia, tapi jangan cakap saya tak bagi nafkah kerana sebagaimana yang kita semua tahu nafkah adalah perkara asas dalam perkahwinan mengikut kemampuan,” katanya.
Lebih menyedihkan, Fattah berkongsi anak mereka, Nur Fatima Aisya, terpaksa menghadapi situasi sebegini pada usia yang masih kecil. Setiap kali mereka bertemu, anaknya menunjukkan kegembiraan dan keinginan untuk kembali bersama kedua ibu bapanya, yang membuatkan Fattah berasa lebih berat hati.
“Setiap kali kami berjumpa saya nampak dia begitu gembira dengan saya dan mahu saya balik rumah. Dia mahu ‘mummy’ dan ‘daddy’ dia.
“Disebabkan hal ini saya terpaksa tipu dia dan beritahu saya keluar rumah sebab urusan kerja. Dia menangis tak nak lepaskan saya sehingga tertidur. Itu yang membuatkan saya lebih kesal kerana terpaksa menipunya,” katanya.
Pasangan selebriti ini sah bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Petaling pada 7 Oktober 2024, selepas tujuh tahun mendirikan rumah tangga.
Sumber: Harian Metro








