Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, menegaskan rakyat Palestin tidak akan dibenarkan kembali ke Gaza di bawah rancangannya, sebaliknya akan ditempatkan di kawasan lain.
Dalam wawancara bersama Fox News, beliau menyifatkan cadangan itu sebagai “pembangunan hartanah untuk masa depan.”
Trump mencadangkan sehingga enam lokasi alternatif bagi penduduk Gaza dan mendakwa mereka akan menerima “perumahan yang jauh lebih baik.” Beliau turut menyatakan bahawa Gaza kini “tidak boleh didiami” akibat kemusnahan besar sejak serangan Israel bermula pada Oktober 2023.
Rancangan ini mencetuskan kecaman antarabangsa, termasuk dari negara Arab dan Kesatuan Eropah, yang menganggapnya sebagai pemindahan paksa yang melanggar undang-undang antarabangsa. Canselor Jerman, Olaf Scholz, menyifatkan cadangan Trump sebagai “tidak boleh diterima.”
Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, bagaimanapun, menyambut baik idea itu dan menganggapnya sebagai satu visi baharu yang lebih baik untuk Israel.
Trump tetap yakin dapat meyakinkan Mesir dan Jordan menerima pelan ini, dengan merujuk kepada bantuan berbilion dolar yang diterima kedua-dua negara itu daripada AS setiap tahun.
Sebelum ini, Trump pernah membayangkan Gaza boleh menjadi seperti Monaco, manakala menantunya, Jared Kushner, mencadangkan wilayah itu dibersihkan untuk “hartanah tepi laut.”