Rakaman video yang memaparkan sebuah bangunan sekolah runtuh di Mindanao tular di media sosial susulan gempa bumi kuat bermagnitud 7.8 yang melanda kawasan Sarangani, Filipina pada Isnin.
Gempa yang berlaku pada awal pagi itu mencetuskan gegaran kuat di beberapa wilayah termasuk General Santos City, sekali gus menyebabkan kerosakan pada bangunan, gangguan bekalan elektrik dan operasi kecemasan diaktifkan segera oleh pihak berkuasa.
Bagaimanapun, pihak sekolah mengesahkan bahawa bangunan yang runtuh tersebut merupakan struktur lama yang terletak di dalam kawasan Matanao National High School di Davao del Sur. Bangunan berkenaan dilaporkan telah rosak sejak gempa bumi sebelumnya pada tahun 2019 dan tidak digunakan semasa kejadian.
Pihak sekolah turut memaklumkan bahawa semua pelajar, guru dan ibu bapa berada di luar bangunan ketika upacara menaikkan bendera berlangsung semasa gempa berlaku. Tiada sebarang kecederaan dilaporkan dalam insiden tersebut.
Baca juga:
- Gempa 7.8 Magnitud: Video bangunan sekolah di Mindanao, Filipina runtuh tular
- Iran dakwa dikenakan syarat masuk dan keluar AS hari sama perlawanan
- Netanyahu kritik tindakan Ben-Gvir terhadap aktiviS GSF
Dalam perkembangan berasingan, pihak berkuasa Filipina mengesahkan sekurang-kurangnya seorang maut dan beberapa lagi cedera susulan kejadian gempa itu, manakala operasi mencari dan menyelamat masih diteruskan di kawasan terjejas.
Lapangan Terbang General Santos turut ditutup sementara bagi tujuan pemeriksaan keselamatan, selain beberapa bangunan lain termasuk premis perniagaan dan kediaman turut dilaporkan mengalami kerosakan akibat gegaran kuat tersebut.
Dalam pada itu, susulan gempa bumi berkenaan, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) memaklumkan gegaran turut dirasai di Tawau, Semporna.
Sumber:Philstar Global









