Rafizi dah kemaskan pejabat, walaupun PM belum luluskan peletakan jawatan | The Reporter

Rafizi dah kemaskan pejabat, walaupun PM belum luluskan peletakan jawatan

Rafizi Ramli bergambar bersama pasukan pegawai dasarnya di pejabat kementerian
Rafizi bergambar kenangan bersama pasukan dasar yang bantu jayakan pelbagai dasar ekonomi sebelum tinggalkan pejabat

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Selepas tewas dalam pemilihan Naib Presiden PKR baru-baru ini, Rafizi Ramli nekad untuk mengundurkan diri daripada jawatan Menteri Ekonomi. Hari ini, beliau memaklumkan kunjungan terakhirnya ke pejabat adalah untuk mengemas barang dan menyelesaikan urusan akhir menjelang tarikh peletakan jawatannya pada 17 Jun.

Namun sebelum benar-benar melangkah pergi, Rafizi mengambil kesempatan untuk menghargai pasukan pegawai dasar yang pernah bersamanya membangunkan pelbagai inisiatif penting negara.

Menurut Rafizi, lima individu terbabit sanggup meninggalkan kerjaya cemerlang masing-masing di luar kerajaan demi menyumbang kepada pelaksanaan dasar seperti ekosistem syarikat pemula, semikonduktor, gaji progresif, NETR, JSSEZ dan pelan jangka panjang RMK13.

“Dari cili kepada semikonduktor, kepada ekosistem syarikat pemula, JSSEZ, NETR, kepada gaji progresif sehinggalah RMK13, mereka banyak menterjemah idea-idea saya sehingga mula boleh dilaksanakan,” tulis Rafizi di Facebook.

Katanya lagi, kini semua anggota pasukan tersebut akan kembali ke bidang asal masing-masing selepas menyempurnakan tanggungjawab di pejabat beliau.

“Saya banyak belajar dari mereka, mungkin lebih dari mereka belajar dari saya,” katanya.

PM belum lulus peletakan jawatan Rafizi, Nik Nazmi

Dalam kenyataan semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan beliau masih belum meluluskan permohonan peletakan jawatan Rafizi dan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad.

“Belum lagi, (mereka) belum tamat tempoh cuti, biar saya fikir, biar mereka fikir. Saya pilih kalau boleh, kita serta (bersama) semula. Tapi kalau tidak, biarlah bagi ruang untuk berfikir dalam keadaan tenang,” katanya.

Tambah Anwar, walaupun beliau telah menerima surat peletakan jawatan, keputusan sama ada ia akan diluluskan atau tidak masih belum dimuktamadkan.

Related Posts