Prasarana tarik balik iklan tren Rapid KL selepas visualnya dikecam netizen | The Reporter

Prasarana tarik balik iklan tren Rapid KL selepas visualnya dikecam netizen

Visual iklan atas tren Rapid KL yang menimbulkan kontroversi kerana dianggap menyindir kaum tertentu
Kenyataan rasmi Prasarana mengenai penarikan balik iklan tren Rapid KL yang tular

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Satu visual iklan yang terpapar pada badan tren Rapid KL mencetuskan perdebatan hangat dalam kalangan netizen apabila karikaturnya dianggap berbaur rasis dan tidak sensitif.

Iklan tersebut menunjukkan dua watak kartun yang kelihatan tidak selesa duduk di antara dua figura manusia—seorang lelaki berpenampilan seperti kaum India dan seorang lagi menyerupai kaum Cina. Dalam visual itu, kedua-dua watak kartun meluahkan reaksi dengan perkataan “Busuknya…” sambil disertakan garisan menggambarkan bau tidak menyenangkan.

Reka letak tersebut menimbulkan persoalan dalam kalangan pengguna media sosial yang menganggap susun atur visual itu seolah-olah menyindir kumpulan etnik tertentu berkaitan isu bau badan, sekali gus dilihat tidak wajar dipaparkan dalam ruang awam.

“Prasarana Malaysia!! What advertisement is this and what is your intention?” soal seorang pengguna bernama Antonio Amadeus di Facebook, sambil menyifatkan visual itu seolah-olah menyampaikan mesej tersirat yang menghina. Rata-rata pengguna lain turut menyuarakan rasa tidak senang dan mempertikaikan bagaimana visual seperti itu boleh diluluskan untuk dipaparkan pada tren.

Prasarana ambil tindakan, perketat semakan visual

Susulan maklum balas orang ramai, Prasarana Malaysia Berhad mengeluarkan kenyataan rasminya hari ini dengan menegaskan bahawa pihak mereka telah mengambil tindakan segera untuk menarik balik visual berkenaan daripada tren Laluan Ampang/Sri Petaling.

Menurut kenyataan itu, iklan berkenaan sebenarnya bertujuan mempromosikan produk penjagaan diri, dan bukan untuk menyasarkan mana-mana individu atau komuniti. Namun begitu, pihak Prasarana mengakui mesej visual itu boleh mengundang salah tafsir, dan akan memperketat proses semakan bagi memastikan elemen visual tidak menimbulkan isu sensitif pada masa akan datang.

“Visual iklan tersebut telah melalui proses semakan oleh pihak dalaman dan luaran, merangkumi aspek-aspek seperti sensitiviti kaum, agama dan sosial sebelum dicetak dan dipaparkan,” jelas mereka. Walau bagaimanapun, visual tersebut tetap ditarik balik atas dasar menghormati keprihatinan pengguna.

Prasarana turut menyatakan penghargaan atas maklum balas yang diterima dan berjanji akan lebih berhati-hati dalam memaparkan kandungan pengiklanan di aset kendaliannya selepas ini.

Related Posts