PN rombak kepimpinan, Sanusi ganti Radzi Jidin terajui jentera pilihan raya | The Reporter

PN rombak kepimpinan, Sanusi ganti Radzi Jidin terajui jentera pilihan raya

Muhammad Sanusi Md Nor dilantik sebagai Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional menggantikan Mohd Radzi Md Jidin dalam rombakan kepimpinan parti.
Gambar: Facebook Sanusi Md Noor

Perikatan Nasional (PN) mengumumkan penstrukturan semula pentadbirannya berkuat kuasa serta-merta sebagai langkah memperkukuh organisasi parti itu menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan.

Pengerusi PN, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, keputusan tersebut dibuat berdasarkan kuasa yang diperuntukkan di bawah Fasal 8.3 (V), (VI) dan (VII) Perlembagaan Perikatan Nasional.

Antara perubahan utama ialah pelantikan Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor sebagai Ketua Pengarah Pilihan Raya PN yang baharu menggantikan Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin yang telah diberhentikan daripada jawatan tersebut.

Pada masa sama, Sanusi turut diberhentikan daripada jawatan Bendahari PN dan digantikan oleh Subramaniam Surunaryan.

Selain itu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali turut diberhentikan daripada jawatan Timbalan Setiausaha Agung bagi memenuhi kehendak Perlembagaan Perikatan Nasional.

Baca juga:

Menurut Samsuri, penstrukturan semula tersebut dilakukan sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh jentera dan kesiapsiagaan PN dalam menghadapi cabaran politik yang bakal mendatang, khususnya menjelang PRN Johor dan Negeri Sembilan.

Beliau turut memaklumkan bahawa satu mesyuarat tergempar Majlis Tertinggi PN akan diadakan dalam masa terdekat bagi membincangkan langkah-langkah lanjut untuk memperkukuh organisasi gabungan berkenaan.

“Demi memperkukuh Perikatan Nasional dan mempersiapkan organisasi menghadapi cabaran mendatang, beberapa penstrukturan pentadbiran telah diputuskan berkuat kuasa serta-merta,” katanya dalam satu kenyataan.

Related Posts