Pertempuran di Gaza; Masjid sumbangan rakyat Malaysia dibom, seribu lebih kematian dilaporkan - The Reporter

Pertempuran di Gaza; Masjid sumbangan rakyat Malaysia dibom, seribu lebih kematian dilaporkan

Foto: Reuters

Hamas telah melancarkan serangan terbesar dalam tempoh beberapa tahun ke atas Israel, dalam tindak balas mengejut yang menggabungkan gerakan pejuang melintas sempadan dan bedilan ribuan roket dari Semenanjung Gaza. Sejumlah 5,000 roket telah dibedil dalam serangan tersebut.

Hari ketiga pertempuran, dilaporkan lebih 700 rakyat Israel terbunuh sejak Hamas melancarkan serangan besar-besarannya. Sementara itu pegawai Gaza melaporkan sekurang-kurangnya 413 kematian di kawasan tandus itu dan menyekat pergerakan 2.3 juta orang, yang dihujani serangan udara Israel ke atas 800 sasaran lebih awal daripada apa yang dikhuatiri ramai menandakan pencerobohan darat semakin hampir.

Masjid Muhammad Al-Amin musnah dibom Israel

Sementara itu, masjid yang diberi nama Masjid Muhammad Al-Amin yang dibina menggunakan dana sumbangan daripada rakyat Malaysia musnah akibat dibom oleh tentera Zionis Israel pada 08 Oktober 2023 (Ahad).

Masjid yang dibina setinggi dua tingkat itu boleh menampung sehingga 1,000 jemaah dibina dengan kos RM1.4 juta di Khan Younis, selatan Gaza.

Susulan daripada isu pertempuran ini, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menggesa masyarakat antarabangsa dan kuasa besar dunia wajar memikul tanggungjawab untuk berusaha menghentikan pertempuran yang berlaku di bumi Palestin serta-merta.Menurut Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Mejar Jeneral Datuk Indera Zahari Mohd Ariffin, Al-Sultan Abdullah bertitah, usaha itu perlu segera dilakukan bagi mengelakkan pertumpahan darah lebih teruk.

Ujar beliau, Al-Sultan Abdullah turut menzahirkan sokongan kepada ketetapan Kerajaan Malaysia yang menggesa Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) mengambil tindakan segera untuk menggesa semua pihak menghentikan keganasan, sekali gus menghormati dan melindungi nyawa orang awam.

Malaysia kekal bersolidatiri dengan Palestin

Sementara itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa Malaysia kekal bersolidariti dengan perjuangan rakyat Palestin.

Beliau berkata, masyarakat antarabangsa secara berterusan mengambil tindakan berat sebelah terkait segala bentuk kekejaman dan penindasan terhadap rakyat Palestin.

“Rampasan tanah dan harta milik rakyat Palestin dibuat Zionis tanpa henti.

“Akibat ketidakadilan ini, ratusan nyawa yang tidak bersalah menjadi mangsa korban,”katanya.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Zahid Hamidi pula menyatakan Malaysia tidak menyokong apa-apa jua tindakan mengorbankan nyawa khususnya terhadap orang awam. Pencerobohan Masjid Al-Aqsa bukti Israel bertindak menyerang sesuka hati tanpa mengira kesucian agama.

Dalam pada masa sama, TPM melancarkan Tabung Akaun Amanah Kemanusiaan Rakyat Palestin (AAKRP) di Lobi Parlimen. Kerajaan juga mengumumkan penyaluran dana RM1 juta kepada Tabung AAKRP yang dikendalikan oleh Kementerian Luar.

Sumber: Berita Harian, Astro Awani, Sinar Harian, Bernama

Total
0
Shares
Related Posts
error: Content is protected !!