'Pergi, balik jalan kaki 6km ke sekolah' - Abbe Hae kongsi kegigihan murid Tahun 6 tuntut ilmu - The Reporter

‘Pergi, balik jalan kaki 6km ke sekolah’ – Abbe Hae kongsi kegigihan murid Tahun 6 tuntut ilmu

Sumber Gambar: Abbe Hae

Perkongsian daripada Ketua Aktivis Pertubuhan Jejak Jalanan Azhan Adnan atau lebih dikenali sebagai Abbe Hae sering menjadi perhatian ramai.

Keihkhlasan beliau dalam membantu golongan yang kurang berkemampuan mendapat pujian ramai.

Menerusi hantaran terbaharu penerima Anugerah Tokoh Khas Individu Maulidur Rasul WPKL 2024 itu, beliau berkongsikan tentang kegigihan seorang murid Tahun Enam yang sanggup berjalan kaki sejauh enam kilometer untuk ke sekolah.

Perjalanan ke sekolah juga turut ditemani oleh bapa murid berkenaan.

“Izara berjalan kaki ke sekolah setiap hari dengan ditemani bapanya. Pergi dan balik berjalan kaki dalam lingkungan 6km.

“Adakalanya, dia ditumpangkan oleh penduduk kampung yang terserempak dengan dua beranak ni,” katanya.

Sebelum ini katanya, Izara dan adik beradiknya dihantar dengan motosikal, tetapi motosikal berkenaan sudah rosak dan bapanya tidak mampu untuk membaikinya.

Kongsi Abbe Hae lagi, Izara dilihat seorang anak yang rajin belajar. Dia juga melihat bapa Izara merupakan seorang yang bertanggungjawab, sanggup menemani anak sampai ke sekolah.

“Sampai sahaja di rumah, Izara terus buka beg sekolah dan mengulangkaji pelajaran.

“Apa yang menarik perhatian abbe adalah tanggungjawab si ayah yang sanggup menghantar anaknya berjalan kaki kesekolah agar anaknya tidak tercicir dalam pelajaran. Satu komitmen yang harus diikuti oleh orang lain,” katanya.

Difahamkan, keluarga murid ini merupakan penduduk di kawasan Bukit Abal, Pasir Puteh, Kelantan.

Total
0
Shares
Related Posts
Total
0
Share
error: Content is protected !!