Jabatan Penjara nafi dakwaan Yasin Sulaiman | The Reporter

Jabatan Penjara nafi dakwaan Yasin Sulaiman

Jabatan Penjara Malaysia nafi dakwaan Yasin Sulaiman mengenai dadah dalam penjara
Yasin Sulaiman ketika tampil dalam sebuah audio siar baru-baru ini.

Jabatan Penjara Malaysia menegaskan dakwaan bahawa banduan boleh mendapatkan bekalan dadah dengan mudah ketika menjalani hukuman adalah tidak benar.

Memetik laporan Sinar Harian, Pengarah Kanan Bahagian Dasar Kepenjaraan, Komisioner Penjara Mohamad Rosidek Musa berkata, pihaknya mempunyai prosedur operasi standard (SOP) dan peraturan ketat bagi mengawal kemasukan serta peredaran bahan terlarang di institusi penjara.

Menurutnya, Jabatan Penjara sentiasa berusaha mengekang perkara negatif termasuk salah laku dalam kalangan penghuni menerusi kawalan keselamatan dan program pemulihan.

“Kita akui ada perkara mungkin berlaku, tetapi tidak seperti yang didakwa,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi mengulas dakwaan penyanyi dan komposer, Muhammad Yasin Sulaiman bahawa dadah masih boleh memasuki penjara walaupun pemeriksaan keselamatan ketat dilaksanakan terhadap banduan baharu.

Baca juga:

Yasin sebelum ini mendakwa dia diarahkan menanggalkan pakaian dan menjalani pemeriksaan berulang ketika tiba di Penjara Sungai Buloh, namun langkah itu didakwa masih gagal menghalang peredaran dadah di dalam penjara.

Mohamad Rosidek berkata, sebarang salah laku yang dikesan akan ditangani mengikut peraturan, manakala SOP keselamatan dan pengurusan penjara dikaji serta diperketat secara berperingkat setiap tahun.

Related Posts