Polis menahan tiga lelaki tempatan selepas video memaparkan perbuatan membuang air kecil di tepi lebuh raya tular di media sosial.
Timbalan Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Superintenden Ng Swie Chait berkata, pihaknya mengesan video berkenaan yang dimuat naik pada Ahad.
Menurutnya, seorang anggota polis kemudian membuat laporan pada kira-kira pukul 6.11 petang selepas melihat hantaran tersebut bagi membolehkan siasatan dijalankan.
“Bertindak atas maklumat, sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan menahan ketiga-tiga suspek pada kira-kira pukul 9.30 malam hari sama.
“Suspek berusia antara 28 hingga 36 tahun ditahan di hadapan sebuah restoran di Taman Maju Jaya, Johor Bahru. Polis turut merampas sebuah kenderaan pelbagai guna,” katanya dalam kenyataan.
Baca juga:
- Tiga lelaki ditahan dipercayai buang air kecil di tepi lebuh raya
- Pernah tular kisah dihalau ibu saudara, Haziq kini bergelar Leftenan Muda
- ‘Kelat turun berat badan 100kg ketika fasa musth, keadaan masih terkawal’ – MPT
Semakan polis turut mendapati seorang daripada suspek mempunyai satu rekod lampau berkaitan kes jenayah, manakala ujian saringan awal air kencing terhadap kesemua mereka didapati negatif dadah.
Kes disiasat mengikut Seksyen 377D Kanun Keseksaan kerana melanggar kesopanan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun, jika sabit kesalahan.









