Parti Amanah Negara (AMANAH) mendesak Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim memohon pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) susulan pergolakan politik yang melanda negeri itu.
Setiausaha Agungnya, Muhammad Faiz Fadzil berkata, langkah tersebut wajar dipertimbangkan berikutan pertembungan antara pihak eksekutif negeri dengan Istana yang didakwa boleh menjejaskan kestabilan pentadbiran.
Menurutnya, kemelut berkenaan semakin meruncing selepas Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir dilaporkan menarik balik perkenan dan membatalkan pelantikan semua Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO).
Bagaimanapun, beliau menegaskan AMANAH tidak mahu mencampuri kemelut berkaitan kedudukan Yang di-Pertuan Besar kerana perkara itu perlu diselesaikan mengikut lunas undang-undang, Perlembagaan serta Adat Negeri Sembilan.
Baca juga:
- AMANAH desak MB Negeri Sembilan mohon pembubaran DUN
- ‘Pembesar sepatutnya jadi pendamai, bukan batu api’ – Akmal Saleh
- Jabatan Penjara nafi dakwaan Yasin Sulaiman
Muhammad Faiz turut mendakwa Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 yang diadakan secara mengejut berpunca daripada desakan pihak tertentu yang mahu menurunkan Yang di-Pertuan Besar daripada takhta.
Katanya, dakwaan itu diperkukuh dengan proklamasi yang ditandatangani Menteri Besar pada 3 Ogos lalu, sejurus selepas PRN berkenaan, sebelum keadaan politik negeri semakin tegang apabila beliau didakwa menolak titah secara terbuka.
Parti itu juga mendakwa tindakan UMNO dalam isu berkenaan tidak mencerminkan penghormatan terhadap institusi diraja Melayu, selain bertentangan dengan kehendak rakyat yang mengundi pada PRN lalu.
“AMANAH mendesak Menteri Besar Negeri Sembilan untuk memohon pembubaran DUN Negeri Sembilan memandangkan pertembungan antara eksekutif dan Istana adalah bertentangan dengan roh serta prinsip Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.
“AMANAH percaya bahawa pergolakan politik yang gagal diuruskan dengan baik oleh UMNO boleh menggugat kestabilan pentadbiran kerajaan negeri,” katanya dalam kenyataan.









