'Perangai pengotor bila mahu dikorbankan?' - Dr Rozaimi Ramle | The Reporter

‘Perangai pengotor bila mahu dikorbankan?’ – Dr Rozaimi Ramle

Kulit haiwan dipercayai lembu korban dibuang ke dalam tong sampah sehingga mencetuskan kritikan mengenai aspek kebersihan selepas ibadah korban.
Gambar tular: Facebook Dr Rozaimi

Rektor Universiti Islam Antarabangsa Tuanku Syed Sirajuddin (UniSIRAJ) Prof Dr Rozaimi Ramle meluahkan rasa sedih susulan penularan sekeping gambar dipercayai memaparkan kulit lembu korban dibuang ke dalam tong sampah, dipercayai berlaku selepas pelaksanaan ibadah korban sempena Aidiladha.

Menerusi satu kenyataan di media sosial, beliau berkata sekiranya dakwaan itu benar, keadaan tersebut amat menyedihkan dan mencerminkan sikap tidak mengambil berat soal kebersihan dalam masyarakat.

“Khabarnya ini adalah kulit haiwan korban. Jika benar maka ia amat menyedihkan,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa Islam amat menitikberatkan aspek kebersihan, bukan sekadar dalam urusan ibadah seperti wuduk dan mandi wajib semata-mata.

“Adakalanya ustaz yang mengajar fiqh ini perlu tekankan lebih sikit bahawa Islam mementingkan kebersihan bukan dalam bab wuduk dan mandi junub sahaja,” katanya lagi.

Baca juga:

Dalam masa sama, beliau turut menyindir sikap segelintir pihak yang dilihat masih mengabaikan kebersihan walaupun ibadah korban telah selesai dilaksanakan.

“Korban haiwan sudah selesai. Perangai pengotor bila mahu dikorbankan?” ujarnya.

Gambar yang tular itu bagaimanapun tidak menyatakan lokasi kejadian dan setakat ini belum ada pengesahan rasmi mengenai tempat sebenar kulit haiwan berkenaan dibuang.

Perkongsian tersebut mengundang pelbagai reaksi netizen yang rata-ratanya bersetuju bahawa pengurusan sisa korban perlu dilakukan dengan lebih sistematik dan berhemah bagi menjaga kebersihan serta imej Islam.

Related Posts