Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari menyifatkan pengumuman ekonomi oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai satu gimik yang tidak memberi impak jangka panjang kepada rakyat.
Menurut Ahmad Fadhli, satu-satunya perkara yang kelihatan menarik daripada pengumuman tersebut hanyalah bantuan tunai sebanyak RM100 kepada setiap rakyat dewasa Malaysia yang melibatkan peruntukan RM2 bilion.
“Hanya bantuan RM100 untuk semua rakyat dewasa Malaysia (bernilai keseluruhan RM2 bilion) yang kelihatan menarik dari pengumuman hari ini. Selain itu, ia hanyalah pengumuman biasa dan boleh sahaja diumumkan pada bila-bila masa terutama menjelang Bajet 2026 nanti,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Namun beliau mendakwa pengumuman itu dilakukan lebih awal kerana kerajaan ingin mengurangkan momentum kemarahan rakyat terhadap pelaksanaan penyasaran subsidi diesel yang menyebabkan peningkatan kos sara hidup.
“Tetapi terpaksa diumumkan segera kerana ingin mengurangkan momentum kemarahan rakyat untuk turun 26 Julai ini,” katanya.
Baca juga:
- Rafizi Ramli desak keputusan segera, sedia dipecat jika langgar perlembagaan parti
- Dr Noraishah Mydin, umum tarik diri dari PKR
- Ucapan Ramanan dicelah Hassan Karim, cetus ketegangan di Konvensyen PKR Johor
Penurunan harga petrol RON95
Mengulas lanjut, beliau mempersoalkan nilai penurunan harga RON95 sebanyak 6 sen yang dianggap tidak setimpal dengan pengumuman besar-besaran seorang Perdana Menteri secara langsung di kaca televisyen.
“RON95 turun 6 sen, tidak padan dengan pengumuman seorang Perdana Menteri secara langsung di kaca televisyen. Umpamanya, tidaklah padan dengan teaser yang ditayangkan seminggu sudah seolah-olah filem pecah panggung, rupanya filem cap ayam menggunakan software ciplak untuk proses editing,” sindir beliau.
Ahmad Fadhli turut mempersoalkan kesan kenaikan harga lantai padi yang diumumkan kerajaan, dengan menyatakan bahawa kos pengeluaran bagi pesawah kini jauh lebih tinggi.
“Harga lantai padi naik? Tapi tanyalah pesawah – diesel naik, baja naik, mesin rosak, semua naik. Kos pengeluaran jauh lebih tinggi daripada harga lantai. Yang untung bukan pesawah tapi tauke,” katanya.
Tambahnya lagi, bantuan tunai RM2 bilion itu tidak memberi sebarang makna besar jika dibandingkan dengan RM7.5 bilion yang dijimatkan menerusi penyasaran subsidi diesel.
“Tiada yang berimpak jangka masa panjang. Hanya pengumuman biasa,” tegas beliau.
Sehubungan itu, beliau menegaskan perhimpunan yang dijadualkan pada 26 Julai tetap akan diteruskan sebagai isyarat kemarahan rakyat terhadap beban ekonomi semasa.
“Turun tetap turun! 26 Julai jumpa di Kuala Lumpur,” katanya.








