Pengasuh didenda RM40,000 kerana mengasari 2 bayi di bawah jagaannya, penjara 10 bulan jika gagal bayar denda | The Reporter

Pengasuh didenda RM40,000 kerana mengasari 2 bayi di bawah jagaannya, penjara 10 bulan jika gagal bayar denda

Sumber gambar: Isu Semasa Official

Mahkamah Sesyen Johor Bahru semalam menjatuhkan hukuman denda RM40,000 terhadap pengasuh di sebuah taska yang mengaku bersalah atas dua pertuduhan berkelakuan cuai terhadap dua bayi di bawah jagaannya.

Tertuduh, Nurul Shahira A’shiqin Sulaiman, 28, mengaku bersalah di hadapan Hakim Datuk Che Wan Zaidi Che Wan Ibrahim.

Kegagalan membayar denda berkenaan akan menyebabkan tertuduh dipenjara 10 bulan, selain bon berkelakuan baik selama dua tahun dan menjalani khidmat masyarakat selama 100 jam dalam tempoh enam bulan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa berlaku cuai terhadap dua bayi lelaki dan perempuan yang masing-masing berusia sembilan bulan dan 11 bulan, di mana kecuaiannya itu mungkin boleh mendatangkan kecederaan kepada bayi berkenaan.

Nurul Shahira didakwa melakukan kesalahan itu di taska di Taman Mutiara Rini, pada jam 1 tengah hari, Mac 2023. Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Sebelum hukuman dijatuhkan, peguam yang mewakili tertuduh, Syufri A. Samad merayu agar mahkamah mengenakan hukuman ringan terhadap anak guamnya yang sudah insaf dan menyesal.

Selain itu, anak guamnya juga sudah tidak bekerja dan tiada sebarang pendapatan, kini bergantung kepada suaminya yang bekerja di kilang dengan pendapatan RM2,000 sebulan. Malah, mereka juga perlu menanggung ibu bapa yang telah berusia.

“Sejak didakwa pada 21 Mei lalu, dia dicemuh masyarakat. Tertuduh juga telah mengaku bersalah sejak awal pendakwaan, sekaligus menjimatkan masa dan kos mahkamah.

“Difahamkan dua bayi terbabit juga tidak mempunyai sebarang kesan kecederaan fizikal. Oleh itu saya memohon mahkamah memberi hukuman ringan kepada tertuduh,” katanya.

Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Syafiqah Sha’ari memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat, terutamanya pengusaha taska.

Sumber: Kosmo! Online (Khairul Mohd. Ali)

Related Posts