DBKL kompaun kakitangan selepas dakwaan buang sampah tular | The Reporter

DBKL kompaun kakitangan selepas dakwaan buang sampah tular

tindakan kompaun terhadap kakitangan DBKL yang didakwa membuang sampah.
Gambar: Facebook DBKL

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengambil tindakan segera terhadap seorang kakitangannya susulan dakwaan membuang sampah daripada kenderaan rasmi jabatan yang tular di media sosial baru-baru ini.

DBKL dalam satu kenyataan memaklumkan pihaknya mengambil maklum mengenai hantaran yang dimuat naik di platform Threads pada 21 Jun lalu yang memaparkan dakwaan berhubung perbuatan tersebut.

Menurut DBKL, perkara itu dipandang serius dan siasatan dalaman segera dijalankan termasuk memanggil kakitangan terbabit bagi mendapatkan penjelasan serta melakukan semakan lanjut berhubung kejadian berkenaan.

“Susulan tindakan berkenaan, kakitangan terbabit telah dikenakan tindakan kompaun di bawah Seksyen 47(1)(e), Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974,” katanya.

DBKL menegaskan bahawa pihaknya sentiasa menitikberatkan aspek integriti, disiplin serta profesionalisme dalam kalangan warga kerjanya bagi memastikan penyampaian perkhidmatan terbaik kepada warga kota.

Baca juga:

Menurut kenyataan itu lagi, DBKL tidak akan berkompromi terhadap sebarang perlakuan yang boleh menjejaskan imej dan reputasi organisasi.

“DBKL tidak berkompromi terhadap sebarang tindakan yang boleh menjejaskan imej organisasi dan akan terus memastikan pematuhan terhadap peraturan serta tatakelola kerja diperkukuhkan dari semasa ke semasa,” katanya.

Terdahulu, satu rakaman video papan pemuka (dashcam) tular di media sosial mengundang perhatian ramai selepas memaparkan tindakan seorang individu dipercayai anggota badan beruniform membuang sampah keluar dari sebuah kenderaan penguat kuasa.

Related Posts