Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, menafikan sekeras-kerasnya dakwaan yang dibuat oleh Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi berhubung isu pembubaran Dewan Negeri Johor yang didakwa kononnya melibatkan “arahan” daripada pihak Istana.
Menurut beliau, dakwaan tersebut tidak benar kerana tiada sebarang kenyataan yang pernah dibuat kepada Puad Zarkashi bahawa Istana telah mengarahkan pembubaran Dewan Negeri Johor.
Sebaliknya, Onn Hafiz menjelaskan bahawa pembubaran Dewan Negeri Johor dilaksanakan selepas mendapat titah perkenan daripada Tunku Mahkota Ismail, selaras dengan Fasal 23, Bahagian Kedua Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor 1895.
Beliau turut menegaskan bahawa Menteri Besar tidak mempunyai kuasa untuk membubarkan Dewan Negeri Johor secara sesuka hati, sebaliknya ia perlu melalui proses perlembagaan yang ditetapkan serta hanya berkuat kuasa selepas mendapat perkenan pihak berkenaan.
“Saya telah mengadap dan mempersembahkan perkara tersebut. Selepas mendapat perkenan, saya mengumumkan pembubaran Dewan Negeri Johor kepada rakyat secara terbuka. Mendapat titah perkenan ialah proses perlembagaan dan sama sekali tidak bermaksud menerima arahan atau campur tangan politik,” katanya.
Menyentuh isu sensitiviti 3R
Onn Hafiz turut menyifatkan tindakan memutarbelit proses perlembagaan itu sebagai tidak bertanggungjawab kerana boleh menimbulkan persepsi salah terhadap Institusi Diraja, termasuk dakwaan campur tangan dalam urusan politik UMNO Johor.
Dalam masa sama, beliau berkata walaupun Puad berhak berbeza pandangan atau meninggalkan parti, kenyataan sedemikian adalah serius dan berpotensi menyentuh sensitiviti 3R serta menjejaskan keharmonian awam.
Baca juga:
- Onn Hafiz nafi dakwaan Puad, tegaskan pembubaran DUN Johor ikut proses perlembagaan
- Puad Zarkashi umum keluar UMNO
- PN terima PEJUANG dan PCM sebagai parti anggota baharu
Laporan polis
Sehubungan itu, beliau memaklumkan bahawa UMNO Johor akan membuat laporan polis bagi membolehkan siasatan serta tindakan lanjut diambil oleh pihak berkuasa.
Beliau turut menyeru semua pihak supaya menghormati Institusi Diraja, mematuhi Perlembagaan serta Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor, dan tidak memperalatkan institusi berkenaan dalam sebarang pertikaian politik.
Terdahulu, Puad Zarkashi mengumumkan keluar daripada UMNO berkuat kuasa serta-merta hari ini, sekali gus menamatkan penglibatannya dalam parti yang telah disertainya sekian lama.
Mengulas punca utama tindakannya, Puad mendakwa UMNO Johor tidak lagi mempunyai kebebasan sepenuhnya dalam membuat keputusan politik.









