Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Seorang pempengaruh dari Colombia, Daneidy Barrera Rojas atau lebih dikenali sebagai Epa Colombia, dijatuhi hukuman penjara lima tahun selepas merakam aksinya merosakkan harta awam ketika protes.
Pada November 2019, Colombia dilanda demonstrasi besar-besaran menentang pentadbiran bekas presiden Iván Duque. Dalam suasana tegang itu, Epa Colombia memuat naik video dirinya menghancurkan sebuah stesen pengangkutan awam di Bogotá menggunakan tukul, selain merosakkan mesin tiket dan menconteng dinding dengan semburan cat.


Video tersebut segera tular, menarik perhatian ramai namun turut mencetuskan siasatan yang membawa kepada hukuman penjara selama tiga setengah tahun atas kesalahan merosakkan harta awam dan mengganggu perkhidmatan pengangkutan.
Walaupun Epa Colombia telah meminta maaf, Pejabat Pendakwa Raya mengemukakan rayuan bagi menambah tempoh hukumannya. Mahkamah akhirnya menjatuhkan hukuman penjara lima tahun serta denda sebanyak 493 kali gaji minimum bulanan.
Peguamnya cuba mengurangkan hukuman dengan mengemukakan rayuan kepada Mahkamah Agung, tetapi pada 27 Januari lalu, mahkamah mengekalkan keputusan sebelumnya. Polis kemudiannya melaksanakan perintah tangkapan ke atas pempengaruh yang turut dikenali sebagai usahawan dalam industri kecantikan itu.
Dalam satu video yang tular di media sosial, Epa Colombia dilihat menangis dan mengadu mengenai nasibnya.
“Saya sangat sedih. Saya bekerja seharian di salun rambut dan dalam perjalanan pulang, polis menahan saya. Mereka ingin menangkap saya, tetapi saya meminta mereka menunggu sehingga peguam saya tiba.
“Sedih rasanya bila keluar dari salun rambut dan seluruh pasukan saya melihat saya dibawa ke pejabat pendakwa raya. Saya sentiasa mahu membaiki sistem pengangkutan TransMilenio, membayarnya semula dan memperbaiki diri sepanjang lima tahun ini. Saya hanya bekerja keras dan mencipta peluang pekerjaan,” katanya.
Dengan lebih 5.2 juta pengikut di Instagram, Epa Colombia merupakan antara pempengaruh paling terkenal di negaranya. Sebagai sebahagian daripada hukumannya, beliau turut dilarang menggunakan media sosial. – Agensi








