'Pemergian yang dicemburui' - Rakan Cikgu E | The Reporter

‘Pemergian yang dicemburui’ – Rakan Cikgu E

Gambar orang ramai yang memenuhi ruang masjid untuk solat jenazah Cikgu E.
Gambar: Facebook Mohd Fadli Salleh, Nassry Mardee Ismail IV

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Bekas pendidik yang pernah menginspirasi ramai dengan kisah ketabahannya melawan tiga jenis kanser, Nassry Mardee Ismail atau lebih dikenali sebagai Cikgu E, dilaporkan meninggal dunia pada Selasa.

Berita duka itu disahkan menerusi satu hantaran di akaun Facebook milik Allahyarham, Nassry Mardee Ismail IV, yang kini dipenuhi dengan ucapan takziah serta doa daripada keluarga, sahabat dan bekas anak muridnya.

Cikgu E, bapa kepada lima orang anak, sebelum ini menjadi perhatian ramai apabila beliau berkongsi perjalanan hidupnya menempuh ujian berat melawan penyakit kanser, namun tetap tampil positif dan menguatkan semangat orang lain melalui media sosial.

Pemergian yang dicemburui

Rakan seperjuangan beliau, termasuk pempengaruh dan usahawan, Syukor Majid, turut menzahirkan rasa sebak atas pemergian insan yang disifatkan sebagai ‘istimewa dan terpilih oleh Allah’.

“Allah bagi ‘tarikh’ untuk beliau bersiap sedia berangkat ke negeri abadi. Di hujung usia beliau, Allah jentik hati lebih ramai orang mengenali dan sayang Cikgu E.

“Solat jenazah macam solat Jumaat, penuh masjid. Darjat beliau Allah angkat. Pemergian yang dicemburui,” tulisnya.

Seorang lagi sahabat rapatnya pempengaruh yang dikenali sebagai Cikgu Fadli Salleh berkongsi betapa luar biasanya sambutan masyarakat terhadap jenazah Allahyarham.

“E, hang tau dak orang mai solat jenazah hang melimpah sampai kat tangga? Orang iring hang pi kubur bersesak-sesak nak lihat hang buat kali terakhir.

“Hang bukan raja, bukan YB, tapi semua orang bercakap pasai hang. Pasai semangat hang, pasai reda hang pada ujian Allah,” tulisnya penuh emosi.

Inspirasi sehingga ke akhir nafas

Keperibadian Cikgu E yang ceria, sabar dan sentiasa positif walau diuji bertubi-tubi menjadikan beliau sumber inspirasi bukan hanya kepada komuniti pendidik, tetapi juga masyarakat umum.

Cikgu Fadli juga menyifatkan Allahyarham sebagai ‘pendidik sejati’ yang bukan sahaja mengajar ketika hidup, tetapi terus memberi pelajaran dan pengajaran tentang kekuatan dan keikhlasan.

“Hang ni betul-betul cikgu lah, E. Hang mengajar orang dari hidup sampai hang pergi. Sampai masa hang meninggal pun masih memberi inspirasi pada ramai orang.

“Rehatlah, E. Kita pasti jumpa lagi, insya-Allah,” ujarnya.

Related Posts