Pelajar Malaysia bunuh bayi baru lahir, sembunyi dalam kotak bijirin | The Reporter

Pelajar Malaysia bunuh bayi baru lahir, sembunyi dalam kotak bijirin

Pembunuhan bayi oleh pelajar malaysia

COVENTRY, UK – Seorang pelajar dari Malaysia, Jia Xin Teo, 22, telah didapati bersalah atas pertuduhan membunuh bayi yang baru dilahirkannya. Dia didakwa menyembunyikan bayi tersebut di dalam kotak bijirin sebelum memasukkannya ke dalam beg pakaian.

Teo yang tiba di UK awal tahun ini untuk menyambung pengajian di Universiti Coventry, didakwa mengetahui dirinya sedang hamil semasa tiba di negara itu. Tetapi tidak memaklumkan kepada sesiapa, termasuk kepada bapa bayi yang berada di Malaysia.

Pada 4 Mac lalu, Teo melahirkan bayinya secara bersendirian dan kemudian meletakkan bayi itu ke dalam kotak bijirin, membungkusnya dalam beg plastik sebelum dimasukkan ke dalam beg pakaian.

Pendakwa Raya, David Mason KC berkata, Teo memberitahu polis bayinya masih hidup beberapa minit selepas dilahirkan dan semasa dimasukkan ke dalam kotak tersebut.

Mayat ditemui selepas dua hari

Dua hari kemudian, mayat bayi itu ditemui oleh pihak polis setelah menerima laporan dari pihak hospital dan asrama tempat Teo tinggal. Perkhidmatan Pendakwaan Diraja turut mengesahkan bayi tersebut telah meninggal dunia ketika ditemui.

Teo yang tinggal di Raglan Street, bagaimanapun menafikan tuduhan itu dengan alasan dia terdengar suara yang menyuruhnya mencederakan bayi itu. Namun, juri di Mahkamah Mahkota Warwick menolak pembelaannya dan mendapati dia bersalah. Hukuman akan dijatuhkan pada tarikh yang akan ditetapkan.

Mahkamah turut dimaklumkan, kehamilan Teo hanya diketahui selepas rakan-rakannya memecah masuk biliknya kerana risau melihat keadaan Teo yang berlumuran darah.

Kesan darah merata-rata

Menurut Mason, ketika rakan-rakan Teo masuk ke dalam bilik tersebut, mereka melihat kesan darah di merata tempat. Teo mengunci diri di dalam bilik air tetapi akhirnya bersetuju untuk keluar selepas dipujuk.

Paramedik dipanggil namun Teo enggan dibawa ke hospital. Dia kemudian dipindahkan ke bilik lain untuk membersihkan darah. Salah seorang rakan Teo membantu memindahkan barang-barangnya termasuk beg pakaian merah yang mengandungi bayi tersebut tanpa menyedari perkara itu.

Teo akhirnya bersetuju dibawa ke hospital dan dimasukkan ke unit ginekologi kecemasan. Ujian kehamilan menunjukkan keputusan positif, tetapi dia menafikan telah melahirkan bayi dan menolak untuk diperiksa.

Mengesyaki Teo cuba menyembunyikan sesuatu, doktor terus menghubungi pihak polis. Teo kemudian mengaku telah melahirkan bayi tersebut dan memberitahu polis tempat dia menyembunyikan bayi itu.

Mason memberitahu mahkamah, untuk menggunakan alasan infanticide sebagai pembelaan, pihak pembelaan perlu menunjukkan fikiran Teo mungkin terganggu akibat kesan melahirkan. Dua pakar psikiatri mengesahkan perkara ini mungkin berlaku.

Namun, Mason menekankan Teo dengan sengaja menyembunyikan kehamilannya, berbohong kepada doktor dan menolak pemeriksaan. Tindakan menyembunyikan bayi itu memerlukan perancangan yang teliti.

Keputusan juri

Selepas perbicaraan, James Leslie Francis dari Perkhidmatan Pendakwaan Diraja berkata, “Jia Xin Teo merahsiakan kehamilannya daripada semua orang yang dikenali dan tiba di UK dengan sedar dia akan melahirkan di sini. Dia mempunyai peluang untuk mendapatkan bantuan, tetapi memilih untuk melahirkan secara rahsia.

“Selepas melahirkan, dia tetap tidak memberitahu sesiapa dan menolak untuk pergi ke hospital. Dia berbohong kepada rakan-rakan, doktor, dan polis supaya tiada siapa tahu tentang bayinya. Dia hanya memaklumkan lokasi bayi kepada polis selepas dua hari, ketika itu bayi tersebut sudah meninggal dunia.

“Juri hari ini telah membuat keputusan, dan saya ingin berterima kasih atas pertimbangan mereka dalam kes yang rumit dan sensitif ini,” katanya.

Sumber: Daily Mail

Related Posts