Keadaan sebuah kerusi dan meja makan di Hentian Gua Musang yang didakwa dipenuhi tompokan kulat mengundang teguran pengguna di media sosial, baru-baru ini.
Menerusi perkongsian di Threads, seorang pengguna meluahkan rasa kurang senang terhadap keadaan kemudahan tersebut yang dianggap tidak lagi sesuai digunakan, terutama oleh orang ramai yang singgah untuk makan dan berehat.
Dalam hantaran berkenaan, pengguna terbabit turut meminta pihak pengurusan supaya menukar kerusi dan meja yang didakwa sudah mengalami masalah kulat.
“Boleh dah ni tukar kerusi meja makan ni, teruk berkulat,” katanya menerusi hantaran tersebut.
Walaupun disampaikan dalam nada bersahaja, pengguna itu turut menegaskan aspek kebersihan perlu diberikan perhatian memandangkan hentian berkenaan menjadi lokasi persinggahan orang ramai.
Menurutnya, Hentian Gua Musang bukan sahaja menjadi tempat berehat bagi perantau, malah turut dikunjungi pelancong dari luar kawasan.
Keadaan kemudahan di hentian berkenaan, katanya, wajar diberi perhatian kerana lokasi itu dilihat sebagai antara tempat pertama yang menjadi tumpuan pengunjung sebelum meneruskan perjalanan ke Kelantan.
“Sebagai tempat tumpuan orang ramai untuk berhenti makan dan rehat daripada kalangan perantau dan pelancong luar, kena jaga sikitlah imej selaku ‘pintu masuk pertama’ untuk negeri Kelantan kita ni,” katanya.
Baca juga:
- Keadaan kerusi Hentian Gua Musang cetus teguran pengguna
- MBS tawar insentif sehingga RM50 penyerahan anjing terbiar
- Tun Mahathir, Siti Hasmah cipta rekod ASEAN dan Asia

Perkongsian itu secara tidak langsung menimbulkan persoalan mengenai tahap penyelenggaraan kemudahan awam di lokasi persinggahan yang digunakan oleh orang ramai, khususnya aspek kebersihan meja dan kerusi makan.
Pengguna berkenaan turut menyindir keadaan tersebut dengan bertanya sama ada pihak pengurusan sanggup menikmati makanan sambil duduk dalam keadaan kemudahan seperti yang didakwanya itu.
Aduan berkenaan diharap mendapat perhatian pihak pengurusan Hentian Gua Musang supaya pemeriksaan dan kerja penyelenggaraan dapat dilakukan, sekali gus memastikan kemudahan yang disediakan berada dalam keadaan bersih dan selesa untuk kegunaan orang ramai.









