MBS tawar insentif sehingga RM50 penyerahan anjing terbiar | The Reporter

MBS tawar insentif sehingga RM50 penyerahan anjing terbiar

Anjing terbiar berkeliaran di kawasan perumahan di Malaysia
Gambar hiasan

Majlis Bandaraya Seremban (MBS) menawarkan insentif kepada orang ramai yang menyerahkan anjing terbiar secara sukarela menerusi Program Pemberian Insentif Penyerahan Anjing Terbiar Secara Sukarela 2026.

Menurut MBS, program akan bermula pada 24 Ogos ini dilaksanakan sebagai usaha berterusan bagi mengawal populasi anjing terbiar di kawasan pentadbirannya.

Inisiatif berkenaan turut bertujuan meningkatkan tahap kebersihan, keselamatan dan kesejahteraan komuniti melalui pengurusan haiwan terbiar yang lebih sistematik serta berkesan.

Menerusi program itu, insentif sebanyak RM50 ditawarkan bagi setiap anjing dewasa, manakala RM25 diberikan untuk setiap anak anjing berusia bawah enam bulan.

Bagaimanapun, penyerahan tertakluk kepada beberapa syarat yang ditetapkan pihak MBS. Antaranya, pemohon mestilah warganegara Malaysia dan merupakan penduduk di kawasan pentadbiran MBS.

Baca juga:

Anjing yang diserahkan juga mestilah dalam keadaan hidup serta tidak mengalami kecederaan serius atau menjadi mangsa penderaan.

Selain itu, program berkenaan hanya melibatkan anjing yang tidak berlesen atau tidak mempunyai bukti pemilikan, tertakluk kepada syarat dan peruntukan semasa yang ditetapkan oleh pihak Majlis.

Bagi kaedah penyerahan, pemohon perlu menyerahkan anjing secara terus kepada pihak MBS mengikut tarikh dan lokasi yang ditetapkan.

MBS memaklumkan pemohon akan dihubungi bagi mendapatkan status permohonan serta salinan borang permohonan penyerahan anjing yang telah disahkan dalam tempoh tujuh hari bekerja.

Penyerahan anjing kepada Jabatan Kesihatan Persekitaran, Wisma MBS ditetapkan dari jam 9 pagi hingga 4 petang sahaja, tertakluk kepada perubahan semasa dan pemakluman lanjut daripada pegawai Majlis.

Related Posts