Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Seorang pekerja kilang pengsan semasa bekerja sebelum disahkan meninggal dunia, sehari selepas pengurusnya menolak permohonan cuti sakit tambahan, kecuali jika dia mengemukakan sijil cuti sakit yang baru.
May, 30, berasal dari wilayah Sukhothai bekerja di kilang elektronik tersebut di Bang Pu Industrial Estate, daerah Muang, wilayah Samut Prakan, Thailand.
Lapor Bangkok Post, kejadian yang menimpa May itu tular di media sosial selepas satu hantaran di Facebook yang berkongsi gambar perbualan rakan sekerja May yang memaklumkan May meninggal dunia selepas tidak dibenarkan mengambil cuti sakit. Perkongsian itu mencetuskan banyak komen negatif terhadap syarikat tersebut.
Menurut salah seorang rakan sekerja, May mengambil cuti dengan sijil perubatan dari 5 hingga 9 September, selepas didiagnosis mengalami keradangan usus besar. May dimasukkan ke wad selama empat hari.
Setelah dibenarkan keluar dari hospital, May memberitahu rakannya yang keadaan dirinya tidak begitu baik dan memerlukan dua hari cuti tambahan.
Pada malam 12 September, May memohon cuti sakit pada 13 September denagn alasan kesihatannya semakin merosot. Malangnya, pengurus meminta May datang bekerja dan mengemukakan sijil perubatan baru kerana dia telah mengambil banyak cuti sakit sebelum ini. Tetapi rakan-rakan sekerjanya berkata, May tidak pernah mengambil cuti sakit sebelum ini.
Bimbang akan kehilangan kerja, May datang bekerja pada 13 September dalam keadaan yang masih belum sihat sepenuhnya. 20 minit kemudian, May jatuh pengsan dan dikejarkan ke hospital untuk menjalani pembedahan kecemasan.
Doktor mengesahkan May telah eninggal dunia akibat enterokolitis nektrokik pada malam keesokan harinya, iaitu Sabtu lalu.
Dua hari kemudian, Delta Electronics Thailand, mengumumkan kematian May di Facebook rasmi dengan ucapan takziah.
“Kami sangat sedih dengan kehilangan rakan sekerja kami. Ucapan takziah yang ikhlas kepada keluarganya.
“Pada masa ini, kami masih dalam proses menetapkan fakta-fakta berkaitan pemergiannya dan telah memulakan siasatan menyeluruh.








