Peguam yang mewakili keluarga Allahyarham Zara Qairina Mahathir mengesahkan wujud kecederaan pada tubuh remaja berusia 13 tahun itu, seperti yang tersebar di media sosial.
Peguam Shahlan Jufri berkata, pengesahan itu dibuat hasil pemerhatiannya sendiri sepanjang proses bedah siasat yang dijalankan di Jabatan Forensik Hospital Queen Elizabeth I (HQEI).
Menurutnya, beliau berada di bilik bedah siasat selama lapan jam tanpa makan dan minum, semata-mata untuk memerhati keseluruhan prosedur yang dijalankan oleh pasukan forensik.
“Sudah tentu ada kecederaan, memang ada kecederaan. Kecederaan seperti yang kamu tahu di media sosial, begitulah. Yang selebihnya saya tidak boleh beritahu kerana masih dalam siasatan dan ia sulit.
“Seperti yang tersebar di media itu, saya tidak berapa ingat jumlah kecederaan, tetapi memang ada patah, memang ada kecederaan,” katanya.
Baca juga:
- PU Syed kesal 20kg daging korban berbau dihantar ke Madrasah
- Wira jalan raya: Pemandu lori terima pengiktrafan selepas insiden Terowong Menora
- Polis buka siasatan video tular lelaki berpakaian mirip pasukan keselamatan
Shahlan turut menegaskan bahawa proses bedah siasat berlangsung secara telus tanpa sebarang campur tangan pihak luar.
“Proses itu saya berpuas hati kerana tidak ada campur tangan mana-mana pihak, hanya mereka yang terlibat sahaja.
“Memang proses bedah siasat itu berjalan dengan telus, integriti sangat tinggi dan lancar,” tegasnya.
Sumber: Asyikin Asmin/Sinar Harian








