'Proses bedah siasat Zara Qairina berjalan lancar'- Peguam | The Reporter

‘Proses bedah siasat Zara Qairina berjalan lancar’- Peguam

Peguam keluarga, Shahlan Jufri mengesahkan tiada unsur luar semasa proses bedah siasat.
Gambar: Tangkap layar video Berita RTM Sabah.

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Proses bedah siasat jenazah Allahyarham Zara Qairina Mahathir di Jabatan Forensik Hospital Queen Elizabeth (HQE) semalam berjalan lancar tanpa sebarang gangguan atau unsur luar seperti yang tular di media sosial.

Peguam keluarga, Shahlan Jufri, yang menyaksikan prosedur itu dari jam 11 pagi hingga 7.30 malam, berkata beliau sendiri melihat setiap peringkat pemeriksaan dilakukan secara teliti mengikut prosedur.

“Saya boleh beritahu perjalanan post-mortem sangat baik. Tidak ada unsur-unsur seperti di media sosial, seperti dakwaan ada ‘tangan-tangan’ tertentu. Saya sendiri lihat arwah Zara diperiksa sehingga selesai,” katanya.

Menurut Shahlan, proses tersebut dikendalikan empat pakar, termasuk Pakar Perunding Patologi Hospital Sultan Idris Shah, Serdang, Dr Khairul Anuar Zainun, dengan bantuan jurufoto forensik dan polis.

Baca juga:

Beliau menjelaskan laporan bedah siasat akan disediakan selepas perbincangan semua pakar terlibat, dengan tempoh siap paling lewat sekitar dua bulan.

Jenazah Zara kemudian dibawa pulang ke Sipitang untuk dikebumikan semula di lokasi asal.

Allahyarham sebelum ini dilaporkan meninggal dunia selepas dipercayai terjatuh dari tingkat tiga bangunan asrama Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha, Limauan, Kinarut pada 16 Julai lalu.

Sumber: Juwan Riduan/Berita Harian

Related Posts