Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Seorang pegawai polis berpangkat Inspektor dihadapkan ke dua mahkamah berasingan hari ini atas pertuduhan mencuri wang tunai RM300,000 serta gagal menangkap suspek yang terlibat dalam kes berkaitan senjata.
Inspektor Azlan Sudin, 45, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap dakwaan yang dikemukakan terhadapnya.
Dakwaan curi RM300,000
Dalam pertuduhan pertama, Azlan bersama seorang individu lain yang masih bebas didakwa mencuri wang tunai dan beg tangan jenama Prada milik seorang wanita berusia 35 tahun. Kejadian itu berlaku di sebuah unit kondominium di Bukit Jalil, Cheras pada 21 Februari lalu antara jam 5.45 petang hingga 6.20 petang.
Tertuduh didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur di hadapan Hakim Farah Nabihah Muhamad Dan, mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun yang sama, yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda jika sabit kesalahan.
Gagal menjalankan tugas
Selain itu, Inspektor Azlan juga berdepan satu lagi pertuduhan serius apabila didakwa dengan sengaja tidak menjalankan tangkapan terhadap seorang lelaki berusia 35 tahun yang sepatutnya ditahan di bawah Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960. Perbuatan itu dikatakan berlaku di lobi Balai Polis Bukit Jalil, Cheras pada hari yang sama antara jam 6.50 petang hingga 7.00 malam.
Kes ini didengar di Mahkamah Majistret berasingan di hadapan Hakim Noorelynna Hanim Abd Halim. Azlan didakwa di bawah Seksyen 221(c) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda jika disabitkan kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Amritpreet Kaur Randhawa dan Nursyuhada Husna Sulaiman, manakala tertuduh diwakili peguam Huang Yee Ching.
Mahkamah membenarkan Azlan diikat jamin sebanyak RM3,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin. Tarikh sebutan semula kes ditetapkan pada 21 Mei depan.
Sumber: Bernama








