Seorang pegawai kanan Jabatan Negara Amerika Syarikat (AS), Josh Paul meletak jawatan kerana membantah dengan tindakan pentadbiran Joe Biden itu membekalkan senjata berbahaya kepada tentera Israel.
Paul yang bertugas di Biro Hal Ehwal Politik-Ketenteraan Jabatan Negara AS memaklumkan perkara tersebut di akaun Linkedln. Ujarnya, keputusan dibuat kerana pencanggahan dasar Presiden AS, Joe Biden yang menyokong jenayah genosid Israel ke atas Semenanjung Gaza.

Paul berkata, dia tidak boleh menyokong lebih banyak bantuan ketenteraan AS kepada Israel. Dia bimbang negara itu mengulangi kesilapan lalu dan menegaskan enggan menjadi sebahagian daripada sejarah itu.

Paul turut menegaskan tidak mahu lagi meneruskan pekerjaan yang menyumbang kepada pembunuhan orang awam Palestin.
Tegasnya, bantuan ketenteraan AS kepada Israel memberi negara haram itu ‘lampu hijau’ untuk melakukan apa sahaja yang dimahukan terhadap Gaza, tanpa mengira kerugian orang awam.

“Respons pentadbiran ini – dan sebahagian besar Kongres juga – adalah tindak balas impulsif yang dibina berdasarkan pengesahan berat sebelah, kemudahan politik, kebankrapan intelektual, dan inersia birokrasi,” kata Paul dalam catatannya di LinkedIn.
Terdahulu, Biden mempertahankan hak Israel kononnya atas dasar melindungi diri dan mendakwa memahami ‘kemarahan melampau’ untuk bertindak balas terhadap Gaza di sebalik serangan 7 Oktober.
Tetapi dia mendakwa: “Saya memberi amaran kepada anda (Israel) semasa anda merasakan kemarahan itu: jangan termakan olehnya. Selepas 9/11, kami marah di Amerika Syarikat. Semasa kita mengejar keadilan, kita juga melakukan kesilapan,” katanya.
Israel kemudian mendakwa, menerima permintaan Biden untuk membenarkan bantuan ke Semenanjung Gaza yang dikepung melalui Mesir selepas kebimbangan yang semakin meningkat mengenai bekalan yang terhad dan amaran mengenai krisis kemanusiaan.
Bagaimanapun, bantuan itu terhad kepada makanan, air dan ubat-ubatan dan tidak boleh digunakan oleh Hamas, kata pejabat Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu
Sumber: Malik Hussin, ismaweb,Josh Paul Linkedln








