Tindakan pasukan kebangsaan Senegal yang tetap keluar dari hotel ketika ribut kuat melanda bagi menunaikan solat Jumaat mencuri perhatian dunia sukan antarabangsa ketika berlangsungnya Piala Dunia di Amerika Syarikat.
Kejadian berlaku apabila hotel penginapan skuad Senegal di New Jersey dilanda cuaca buruk dengan tiupan angin kencang, sehingga pihak keselamatan mengeluarkan arahan agar semua pemain tidak meninggalkan premis demi keselamatan.
Namun, arahan itu tidak menghalang beberapa pemain dan staf pasukan untuk tetap bergerak keluar bagi menunaikan tanggungjawab agama mereka, sekali gus menimbulkan persoalan dalam kalangan media antarabangsa.
Seorang wartawan Amerika Syarikat kemudian mengajukan soalan kepada jurulatih Senegal mengenai keputusan berani tersebut yang dilihat berisiko tinggi dari sudut keselamatan.
Jurulatih Senegal, Pepe Thiaw, memberikan jawapan yang ringkas tetapi penuh makna sehingga membuatkan wartawan terdiam.
“Engkau takut kepada angin, sedangkan kami takut kepada Dia yang menciptakan angin. Walaupun kami sampai ke final Piala Dunia, kami tetap akan menunaikan solat Jumaat, walaupun terpaksa kehilangan trofi itu,” katanya.
Baca juga:
- Misteri kehilangan vlogger Thailand terjawab, ditemui mati di Hotel Georgia
- 13 maut akibat gempa Jepun, pusat beli-belah antara lokasi terjejas teruk
- Netanyahu kecam Mamdani, dakwa Datuk Bandar New York cetus kebencian
Kenyataan itu menggambarkan keteguhan pegangan agama dan prinsip pasukan Senegal, yang sanggup mendahulukan tuntutan ibadah walaupun berada di pentas sukan paling berprestij di dunia.
Tindakan tersebut turut mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan peminat bola sepak antarabangsa, dengan ramai yang menyifatkannya sebagai simbol disiplin, keimanan dan jati diri yang kuat.








