Kerajaan Birtain mengumumkan keputusan untuk melarang akses media sosial kepada kanak-kanak berumur bawah 16 tahun sebagai langkah melindungi kesihatan mental dan kesejahteraan golongan muda.
Perdana Menteri Britain, Keir Starmer berkata, keputusan itu dibuat selepas menerima maklum balas daripada ribuan ibu bapa yang melahirkan kebimbangan terhadap ketagihan media sosial dalam kalangan anak-anak mereka.
Menurut beliau, penggunaan media sosial yang tidak terkawal telah menyebabkan kanak-kanak terperangkap dalam kitaran tatalan tanpa henti (endless scrolling) sehingga mengganggu masa bermain, tidur dan interaksi keluarga. Keadaan itu juga didakwa memberi kesan negatif terhadap kesihatan mental mereka.
“Kami tidak boleh membiarkan perkara ini berterusan,” katanya sambil menegaskan bahawa langkah tersebut diambil demi memastikan kanak-kanak menikmati zaman kanak-kanak yang lebih selamat dan sihat.
Baca juga:
- UK umum larangan akses media sosial bawah umur 16 tahun
- Gorila Kiyomasa tular, muka ‘overthinking’ lepas bergaduh dengan pasangan
- Selat Hormuz ditutup sepenuhnya susulan serangan AS
Kerajaan Britain turut mengakui bahawa keputusan itu bukan mudah dan dibuat selepas meneliti bukti serta mengambil kira pendekatan negara lain yang turut mempertimbangkan langkah sama.
Langkah tersebut dijangka berdepan tentangan daripada syarikat teknologi besar, namun kerajaan menegaskan ia akan tetap dilaksanakan demi kepentingan kanak-kanak.
“Kami akan berdepan cabaran ini dan kami akan menang,” katanya lagi.
Kerajaan United Kingdom menyifatkan dasar itu sebagai satu langkah besar dalam usaha menangani kesan negatif media sosial terhadap generasi muda.









