PAS sedia bantu UMNO bentuk kerajaan Johor, tidak tuntut jawatan MB atau EXCO | The Reporter

PAS sedia bantu UMNO bentuk kerajaan Johor, tidak tuntut jawatan MB atau EXCO

Tan Sri Abdul Hadi Awang menyampaikan ceramah Grand Finale PRN Johor di Simpang Jeram, Bakri.
Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang. Gambar: Facebook Abdul Hadi Awang

Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang memberi bayangan parti itu terbuka untuk bekerjasama dengan UMNO selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, termasuk menyumbang sokongan sekiranya parti berkenaan tidak memperoleh majoriti mudah untuk membentuk kerajaan negeri.

Menurut laporan Berita Harian, Abdul Hadi berkata PAS juga bersedia menyokong UMNO menerajui jawatan Menteri Besar Johor serta membentuk barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) baharu.

Beliau berkata, PAS tidak mempunyai masalah sekiranya UMNO memimpin kerajaan negeri dan menentukan sendiri barisan EXCO yang bakal dilantik.

“Kalau UMNO menang, UMNO jadi menteri besar. Suka hati UMNO nak lantik EXCO orang dia atau siapa.

“Jika ada kelemahan (UMNO tidak memiliki majoriti), PAS boleh tampung kelemahan itu bergantung kepada kerusi yang kita menang, mungkin boleh bentuk kerajaan dengan simple majoriti (majoriti mudah),” katanya.

Sedia bekerjasama

Abdul Hadi berkata, PAS turut bersedia membantu sekiranya diperlukan untuk mencapai majoriti dua pertiga, bergantung kepada jumlah kerusi yang dimenangi parti itu dalam PRN berkenaan.

Menurutnya, kerjasama tersebut penting bagi memastikan kuasa politik Melayu Islam serta bukan Islam berada dalam keadaan seimbang dan tidak bersifat ekstrem.

“Kalau nak majoriti dua pertiga, kalau PAS cukup kerusi, cukup jumlah, PAS boleh tampung. Atau pun tak cukup majoriti, PAS boleh tampung. Yang penting kuasa politik Melayu Islam dan bukan Islam tak ekstrem.

“Kalau dia (UMNO) sudah cukup jumlah, tak jadi masalah,” katanya.

Baca juga:

Dalam pada itu, Abdul Hadi menegaskan PAS tidak akan meminta jawatan Menteri Besar Johor mahupun jawatan EXCO kerajaan negeri sekiranya kerjasama tersebut berlaku.

Seruan kepada penyokong UMNO

Sementara itu, dalam ucapannya, beliau turut menyeru penyokong UMNO supaya membantu memberi undi kepada PAS di kawasan yang ditandingi parti itu pada PRN Johor.

Katanya, kerjasama antara kedua-dua parti perlu dilakukan secara timbal balik apabila penyokong PAS membantu calon UMNO di kawasan yang ditandingi parti berkenaan, manakala penyokong UMNO pula menyokong calon PAS di kerusi tertentu.

“Tempat UMNO tanding PAS tak tanding, orang PAS tolong orang UMNO. Maka tempat PAS orang UMNO kena tolong orang PAS, itu kita kiralah ini kesepakatan kita ambil.

“Kita mahu supaya parti yang mewarisi kemerdekaan seperti PAS, UMNO, MCA, MIC menerajui negeri,” katanya.

Related Posts