Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi menafikan satu senarai calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang sedang tular di media sosial dan aplikasi WhatsApp.
Beliau menegaskan bahawa senarai berkenaan adalah palsu dan tidak benar, sambil mengingatkan orang ramai supaya tidak mudah mempercayai atau menyebarkan maklumat yang tidak disahkan.
Menurut beliau, sebarang pengumuman rasmi berkaitan calon BN hanya akan dibuat menerusi saluran rasmi parti dan bukannya melalui mesej yang tersebar di media sosial.
“Dalam bahang pilihan raya ini, sudah pasti akan ada pelbagai bentuk fitnah, khabar angin, provokasi dan berita palsu yang cuba dimainkan oleh pihak-pihak tertentu bagi menimbulkan kekeliruan dalam kalangan rakyat,” katanya menerusi satu kenyataan.
Onn Hafiz turut mengingatkan masyarakat supaya berpegang kepada prinsip tabayyun atau menyelidik sesuatu maklumat sebelum mempercayai dan menyebarkannya.
Baca juga:
- Tular aksi ‘manja’ pasangan di kedai makan, JAIM jalankan siasatan
- ‘Nak bersuara tak ada masalah, tapi jangan menuduh tanpa bukti’ – Mohamad Sabu
- Syed Saddiq dan Bella Astillah ‘berguru’ bab perkahwinan dengan Wan Azizah
Beliau turut memetik firman Allah SWT dalam Surah Al-Hujurat ayat 6 yang menggesa umat Islam supaya menyemak kesahihan sesuatu berita bagi mengelakkan berlaku kezaliman atau penyesalan akibat bertindak berdasarkan maklumat yang tidak benar.
Sehubungan itu, beliau menyeru seluruh rakyat Johor agar sentiasa mendapatkan maklumat daripada sumber rasmi serta mengutamakan semakan fakta sebelum menerima sebarang khabar yang tersebar.
Pada masa sama, beliau mengajak semua pihak mengamalkan politik yang matang, berakhlak dan bertanggungjawab serta tidak menyebarkan berita palsu yang boleh menjejaskan keharmonian, kestabilan dan proses demokrasi di negeri Johor.








