Calon duta Amerika Syarikat (AS) ke Malaysia, Nick Adams, tidak dapat menyembunyikan keterujaannya untuk datang ke negara ini. Dalam satu video yang dimuat naik ke Instagram, Adams menyifatkan pelantikannya sebagai “satu penghormatan seumur hidup” dan berharap dapat merasai sendiri budaya Malaysia serta belajar daripada rakyatnya.
“Saya tidak sabar untuk merasai budaya murni anda dan banyak belajar daripada anda,” katanya sambil berjanji akan menyebarkan “kemurahan hati Presiden Trump” kepada rakyat Malaysia.
Namun, di sebalik nada positif itu, pencalonannya mencetuskan reaksi bercampur. Ramai pihak di Malaysia melihat Adams bukan sekadar seorang diplomat biasa, tetapi sosok yang sarat dengan kontroversi, ideologi sayap kanan dan pendirian pro-Zionis yang menimbulkan rasa kurang senang.
Baca juga:
- Bukan Masalah Boros Tapi Realiti, Ini Cara Survive Makan Kenyang Tanpa Perlu Belanja Besar Sebelum Hujung Bulan
- Pemilik tanah benarkan komuniti Rohingya bina flat di Sungai Tekali
- Fadhli ambil tindakan undang-undang terhadap Salim Iskandar
Teruja datang, tapi adakah dia calon yang sesuai?
Adams, seorang pempengaruh konservatif dan penulis buku yang menggambarkan dirinya sebagai “lelaki alpha,” dicalonkan oleh Donald Trump pada 11 Julai lalu. Beliau dijangka menggantikan Edgard Kagan, diplomat lantikan Presiden Joe Biden.
Walaupun semangatnya tinggi dan mesejnya kelihatan positif, ramai mempersoalkan kesesuaian Adams untuk mewakili AS di Malaysia, negara yang lantang menyokong Palestin dan amat sensitif terhadap isu kemanusiaan di Gaza.
Ketua Biro Antarabangsa Pemuda PKR, Arief Izuadin menyifatkan pencalonan itu tidak sejajar dengan nilai yang dijunjung rakyat Malaysia seperti toleransi, solidariti dan hormat terhadap kepelbagaian.
Pencalonan disifatkan boleh jejaskan hubungan dua hala
Pengerusi Biro Antarabangsa Amanah, Raja Kamarul Bahrin pula berkata, pelantikan Adams hanya akan memburukkan persepsi rakyat terhadap AS, terutamanya ketika dunia masih menyaksikan kekejaman Israel di Gaza tanpa tindakan tegas dari Washington.
Sebelum ini, Majlis Belia Malaysia dan NGO pro-Palestin juga menyuarakan kebimbangan mereka dan menyifatkan kehadiran Adams boleh mencemarkan keharmonian dan imej negara.
Malaysia boleh tolak, tapi ada risiko
Malaysia secara teknikal berhak menolak pencalonan mana-mana duta asing, termasuk Adams, jika dirasakan tidak sesuai dengan dasar luar negara. Namun, jika penolakan itu berlaku selepas Adams disahkan oleh Senat AS, ia mungkin menimbulkan ketegangan diplomatik, apatah lagi dengan Trump yang dikenali sukar menerima bantahan terbuka.
Minggu lalu, Trump juga dilapor menaikkan tarif ke atas barangan Malaysia daripada 24% ke 25%, menandakan hubungan kedua-dua negara semakin sensitif menjelang pilihan raya Presiden AS tahun depan.
Sumber: MalaysiaKini











