Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Pencalonan Nick Adams sebagai Duta Amerika Syarikat (AS) ke Malaysia mencetuskan bantahan ramai, termasuk pemimpin politik dan pertubuhan masyarakat. Walaupun dicalonkan oleh Donald Trump pada 9 Julai 2025, Nick Adams masih belum dilantik secara rasmi kerana perlu mendapat kelulusan Senat AS dan persetujuan kerajaan Malaysia.
Ramai berpendapat Nick Adams tidak sesuai mewakili negaranya di Malaysia, sebuah negara majoriti Islam kerana latar belakang dan kenyataan kontroversi yang bertentangan dengan sensitiviti tempatan.
Baca juga:
- JAWI bantah penganjuran pesta air di Kuala Lumpur
- GSF 2.0 dipintas: SNCC sahkan 10 rakyat Malaysia ditahan
- Kanak-kanak jatuh longkang ditemukan, 10 km dari lokasi kejadian
Siapa Nick Adams dan kenapa ramai bantah?
Nick Adams ialah seorang personaliti konservatif kelahiran Australia yang kini memegang kewarganegaraan Amerika. Dia dikenali dengan gaya macho atau “alpha male” dan kerap berkongsi pandangan pro-Zionis di media sosial. Nick juga dikaitkan dengan kenyataan yang dianggap memperlekehkan perjuangan “Free Palestine”.
Selain tiada pengalaman dalam bidang diplomasi, Nick lebih dikenali sebagai penyokong kuat Trump yang sering menimbulkan kontroversi melalui kandungan media sosial. Kehadirannya dikhuatiri tidak membawa manfaat kepada hubungan dua hala, malah boleh menjejaskan persepsi rakyat Malaysia terhadap AS.
Pemimpin politik dan NGO mahu kerajaan tolak
Beberapa pemimpin telah bersuara agar kerajaan tidak menerima pencalonan ini. Bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata Malaysia boleh menolak calon duta tanpa perlu memberikan sebarang alasan, selaras dengan Artikel 4 Konvensyen Vienna. Katanya, “Kini, terpulang kepada Wisma Putra,” sambil menyifatkan Nick sebagai seorang “Zionist turd”.
Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal pula menyifatkan pencalonan itu sebagai satu penghinaan kepada umat Islam dan mendesak kerajaan tidak tunduk kepada tekanan luar. Zaid Ibrahim turut menegaskan Malaysia tidak wajar menerima calon yang hanya terkenal kerana kontroversi, bukan atas dasar kelayakan.
Beberapa NGO dan tokoh masyarakat juga menyuarakan kebimbangan sama. Mereka menyifatkan pencalonan ini sebagai tidak menghormati pendirian Malaysia dalam isu kemanusiaan, terutamanya berhubung konflik Palestin-Israel.
Malaysia ada hak penuh untuk menolak
Menurut amalan diplomatik antarabangsa, Malaysia tidak wajib menerima mana-mana calon duta. Jika kerajaan merasakan seseorang calon itu tidak sesuai, permohonan boleh ditolak secara rasmi atau ditangguhkan tanpa memberi maklum balas sebagai cara halus menyatakan penolakan.
Setakat ini, Wisma Putra masih belum mengeluarkan kenyataan rasmi berkenaan perkara ini. Namun, dengan tekanan yang semakin meningkat daripada pelbagai pihak, kerajaan dijangka perlu menyatakan pendirian dalam masa terdekat.








