Muslimat PAS puji langkah Tamil Nadu tutup 717 premis arak | The Reporter

Muslimat PAS puji langkah Tamil Nadu tutup 717 premis arak

Kenyataan Dewan Muslimat PAS Malaysia menyokong penutupan premis arak di Tamil Nadu
Gambar: Facebook Ustazah Hajjah Nuridah Salleh.

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Dewan Muslimat PAS Malaysia menyambut baik tindakan Ketua Menteri Tamil Nadu, C Joseph Vijay yang mengumumkan penutupan 717 premis jualan arak TASMAC yang beroperasi berhampiran sekolah, rumah ibadah dan terminal awam.

Menurut kenyataan Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia, Nuridah Salleh, langkah berkenaan disifatkan sebagai satu tindakan berani yang memberi keutamaan kepada kebajikan rakyat, khususnya golongan wanita, kanak-kanak serta komuniti setempat yang terkesan dengan isu sosial akibat penjualan arak di kawasan awam.

Beliau berkata, kawalan terhadap penjualan serta akses kepada arak merupakan antara usaha penting dalam membina masyarakat yang lebih sejahtera, aman dan selamat. Katanya lagi, keprihatinan kerajaan Tamil Nadu terhadap suara rakyat, termasuk tuntutan wanita yang mahukan perlindungan sosial dan kesejahteraan keluarga, wajar dijadikan contoh.

Dewan Muslimat PAS Malaysia turut merujuk keputusan Mahkamah Tinggi Madras yang mengarahkan penutupan bar yang beroperasi bersama premis TASMAC dalam tempoh enam bulan sebagai perkembangan positif dalam usaha mengurangkan gejala sosial, gangguan awam dan risiko keselamatan masyarakat.

Baca juga:

Dalam kenyataan sama, mereka turut menegaskan pandangan Islam yang melarang pengambilan arak kerana ia dikaitkan dengan pelbagai kerosakan sosial, termasuk jenayah, keganasan rumah tangga dan keruntuhan institusi keluarga, berdasarkan firman Allah SWT dalam Surah al-Ma’idah ayat 90.

“Sehubungan itu, Dewan Muslimat PAS Malaysia menyeru semua pihak termasuk kerajaan, pertubuhan masyarakat sivil serta institusi keluarga agar memperkukuh usaha pendidikan, pencegahan dan dasar awam yang lebih tegas dalam menangani isu ketagihan arak serta kesannya kepada masyarakat.

“Semoga usaha ke arah membina masyarakat yang lebih sihat, harmoni dan bermaruah terus diperkasakan demi kesejahteraan generasi masa depan,” katanya.

Related Posts