Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) memberi peringatan tegas kepada umat Islam agar tidak terlibat dalam sebarang bentuk ritual atau upacara agama lain.
Pengerusi Jawatankuasa Muzakarah MKI Datuk Dr. Nooh Gadot berkata, pihaknya memandang serius penyertaan segelintir umat Islam dalam majlis keagamaan agama lain yang melibatkan unsur pemujaan berhala dan ritual bukan Islam.
“Tindakan seperti paluan kompang oleh individu beragama Islam dalam majlis agama lain wajar diberikan perhatian kerana ia menyentuh asas utama dalam Islam iaitu akidah,” katanya dalam kenyataan tersebut.
Kenyataan tersebut turut menegaskan bahawa menghormati agama lain tidak bermaksud menyokong atau menyertai ibadah mereka.
“Islam mengiktiraf hak penganut agama lain untuk mengamalkan kepercayaan masing-masing. Namun, umat Islam dilarang menyertai perayaan atau ritual keagamaan agama lain secara langsung atau tidak langsung kerana bertentangan dengan ajaran Islam dan boleh menjejaskan akidah,” jelasnya.
Boleh menimbulkan syubhah
Menurut MKI, penglibatan dalam upacara sedemikian boleh menimbulkan syubhah dan kekeliruan dalam kalangan umat Islam, selain mencetuskan pemikiran liberal tanpa panduan syarak.
MKI menegaskan bahawa tidak semua elemen budaya adalah bebas nilai. Apabila ia digunakan dalam konteks ibadah agama lain, ia menjadi sebahagian daripada ritual tersebut dan tidak lagi bersifat neutral.
“Paluan kompang dalam majlis pemujaan berhala bukan lagi sekadar budaya. Ia perlu dielakkan kerana memberi kesan terhadap akidah dan dilihat sebagai sokongan kepada unsur syirik,” tegas kenyataan itu lagi.
MKI turut menyeru umat Islam agar lebih berhati-hati dan memahami batas-batas dalam pergaulan antara agama, demi memelihara kemurnian akidah dan jati diri Islam.








