Menteri saran mufti berhati-hati keluarkan pandangan isu orang Islam bekerja di bank konvensional, elak timbul kegusaran awam - The Reporter

Menteri saran mufti berhati-hati keluarkan pandangan isu orang Islam bekerja di bank konvensional, elak timbul kegusaran awam

Gambar hiasan (Artificial Intelligence)

Baru-baru ini, satu hantaran tular yang memetik kenyataan daripada Mufti Wilayah Persekutuan mengenai saranan beliau kepada pekerja bank konvensional supaya mencari pekerjaan lain kerana sektor berkenaan dikaitkan dengan riba.

Susulan itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar meminta institusi mufti supaya berhati-hati dalam mengeluarkan pandangan hukum tersebut.

Bagaimanapun, beliau berkata pihaknya sentiasa menghormati pandangan hukum berkenaan, tetapi kenyataan tersebut perlu disertakan dengan hujah yang kukuh serta memberikan satu solusi kepada pandangan tersebut.

Dalam pada masa, beliau juga meminta institusi mufti supaya dapat mengeluarkan sesuatu pandangan yang jelas dan tidak menimbulkan kegusaran awam.

“Bila keluarkan satu-satu pandangan, biar habis, jangan tergantung begitu sahaja. Jadi saya harapkan mana mana mufti, dengan kuasa dan tanggungjawab diberikan, bila mana satu pandangan dikeluarkan, janganlah sampai menimbulkan kegusaran awam dan perlu bagi solusi mengenai kedudukan isu itu.

“Bila kita cakap orang Islam tidak boleh bekerja di bank konvensional, alternatif (penyelesaiannya) pula bagaimana. Biarlah pandangan dikeluarkan itu mengambil kira semua keadaan.

Kemukakan solusi

“Selain itu diharapkan pandangan terbabit (mengemukakan) solusi sehingga ke penghujungnya, sehingga tidaklah kita pun tertanya-tanya apakah bentuk penyelesaian yang di sarankan,” katanya.

Katanya lagi, walaupun pandangan berkenaan berunsur nasihat, namun kenyataan tersebut akan menjadi rujukan sumber orang ramai.

“Pandangannya itu mungkin tidaklah sampai ke tahap fatwa, ia lebih kepada pandangan atau nasihat. Tetapi golongan mufti ini apabila mereka keluarkan sesuatu pandangan, orang akan ingat perkara itu sebagai satu fatwa. Ini yang selalu terjadi,” katanya.

Sumber: Berita Harian

Total
0
Shares
Related Posts
error: Content is protected !!