Mayat seorang lelaki yang dihanyutkan kepala air di Sungai Klang berhampiran Pintasan Saloma pada Isnin lalu akhirnya ditemui di kawasan Kampung Sungai Kandis, Shah Alam, pagi Jumaat.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sazalee Adam, mengesahkan penemuan itu.
“Mayat mangsa akan dibawa ke Hospital Shah Alam untuk proses bedah siasat,” katanya.
Menurut Pusat Gerakan Operasi Kebangsaan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Shah Alam membantu mengeluarkan mayat mangsa yang dijumpai di kawasan perangkap sampah sebelum diserahkan kepada pihak polis.
Pihak polis kemudian mengesahkan mayat tersebut ialah individu yang dilaporkan hilang selepas dihanyutkan arus deras di Sungai Klang semasa kejadian banjir di Pintasan Saloma, Kampung Baru.
Baca juga:
- Tun Mahathir, Siti Hasmah cipta rekod ASEAN dan Asia
- Warga emas maut disambar buaya ketika cari siput, anak saksikan detik tragis
- ‘Hampir 99% ke Mekah’- MP Langkawi dedah kisah pemilihan parti ketika bahas RCI TH
Mangsa dikenali sebagai K. Suresh, 37, seorang penyelia tapak pembinaan yang ketika kejadian sedang melakukan kerja penambahbaikan Sungai Klang bersama beberapa pekerja lain.
Dalam kejadian jam 5.40 petang Isnin lalu, Suresh dikatakan terperangkap di bawah jambatan sebelum dihanyutkan kepala air. Seramai 12 individu lain bagaimanapun berjaya diselamatkan JBPM.
Sebelum ini, Ketua Polis Daerah Dang Wangi memaklumkan terdapat 13 pekerja berada di lokasi ketika kejadian iaitu terdiri daripada tujuh warga Indonesia, empat warga Bangladesh dan seorang pekerja tempatan.
Sumber: Harian Metro, Sinar Harian








