Majlis hari lahir tema perkampungan bunian: Usahawan disiasat JAHEIK | The Reporter

Majlis hari lahir tema perkampungan bunian: Usahawan disiasat JAHEIK

Majlis hari lahir bertema Perkampungan Bunian yang tular di media sosial
Tangkap layar video tular sambutan hari lahir anak usahawan yang bertemakan Perkampungan Bunian.

Seorang usahawan dan pempengaruh media sosial dari Kelantan boleh berdepan tindakan undang-undang Syariah termasuk denda sehingga RM5,000, penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali jika didapati bersalah kerana menganjurkan majlis hari lahir bertemakan ‘perkampungan bunian’.

Memetik laporan Harian Metro, wanita itu dipanggil Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JAHEAIK) untuk memberi keterangan berhubung majlis di Tumpat yang dianggarkan bernilai RM500,000 dan tular di media sosial. Kertas siasatan kini di peringkat akhir sebelum diserahkan kepada Ketua Pendakwa Syarie.

Jika didakwa, kes akan difailkan di Mahkamah Syariah mengikut Seksyen 12 Enakmen Kanun Jenayah Syariah Kelantan yang memperuntukkan hukuman bagi perbuatan yang bercanggah dengan ajaran Islam.

Dalam pada itu, usahawan yang dikenali sebagai Cik Na memaklumkan beliau telah selesai memberi keterangan kepada Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JAHEAIK) pada jam 1 tengah hari semalam berhubung penganjuran majlis berkenaan.

Menurutnya, beliau turut menjelaskan keseluruhan perjalanan majlis tersebut untuk dinilai pihak berkuasa agama dan menyifatkan proses siasatan itu dijalankan tanpa hanya bergantung kepada video yang tular.

Baca juga:

Cik Na turut berharap orang ramai tidak terus menghukum atau menghina, sebaliknya melihat isu berkenaan sebagai pengajaran bersama. Beliau menjelaskan tema ‘bunian’ dan konsep seperti ‘rumah hantu’ bukan sesuatu yang asing kerana pernah digunakan dalam acara sekolah dan ekspo sebelum ini, namun akui isu itu menjadi perhatian selepas ia tular di media sosial.

Related Posts