Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Seorang penternak ikan warga tempatan berusia 41 tahun ditahan polis di Pulau Ketam sekitar jam 5 petang hari ini, selepas dipercayai memukul dan menendang pekerjanya di pelantar ikan di kawasan Bagan Teochew, Klang.
Baca: Lelaki mengadu tidak sihat, dibelasah majikan tanpa belas kasihan
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong, berkata kejadian itu berlaku sekitar jam 3 petang pada 11 Januari lalu. Mangsa, seorang lelaki warga asing, didakwa dipukul kerana tidak hadir bekerja selama dua hari.
Ketika mangsa tiba di pelantar ikan, suspek bertindak menumbuk, menendang, dan mengugutnya.
“Polis mengesan video berdurasi 54 saat di media sosial yang menunjukkan kejadian tersebut. Bagaimanapun, setakat ini, mangsa masih belum ditemui untuk memberikan keterangan lanjut,” katanya memetik laporan Harian Metro, Sabtu, 18 Januari 2025.
Menurut Cha, hasil semakan mendapati suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau. Kes ini sedang disiasat di bawah Seksyen 323/506 Kanun Keseksaan atas kesalahan mendatangkan kecederaan dan ugutan jenayah.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian ini diminta tampil ke balai polis berhampiran atau menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan di talian 03-33762222 bagi membantu siasatan.








