Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memutuskan untuk tidak menggantung lesen Maestra Broadcast Sdn Bhd, pengendali stesen radio Era FM, setelah meneliti rayuan syarikat itu berhubung notis penggantungan yang dikeluarkan pada 7 Mac lalu.
Keputusan ini dibuat selepas mempertimbangkan hujah rayuan serta tindakan susulan yang telah diambil oleh syarikat berkenaan, termasuk permohonan maaf oleh pihak terlibat. MCMC turut mengambil kira kesan terhadap stesen radio lain seperti Melody dan Mix FM yang beroperasi di bawah lesen yang sama.
Bagaimanapun, Maestra Broadcast dikenakan kompaun RM250,000 atas kesalahan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (yang telah dipinda berkuat kuasa pada 11 Februari 2025).
Kesalahan tersebut melibatkan penyiaran kandungan jelik melampau di akaun rasmi TikTok Era FM. Kompaun ini dikeluarkan selepas kelulusan diberikan oleh Jabatan Peguam Negara.
- Ratusan rakyat Thailand berhimpun bantah isu pemilikan tanah warga Israel
- Rakyat Korea Selatan bantah misi Selat Hormuz
- Polis kesan dua kenderaan didakwa uji kelajuan di Putrajaya
- Malaysia tawar bantuan kepada Indonesia tangani kebakaran hutan dan tanah
- ‘Adakah membiarkan anjing hidup bermaksud kami memilikinya?’ – Keluarga Haira
MCMC menegaskan bahawa tindakan memuat naik kandungan yang berpotensi mencetuskan ketegangan antara agama atau mengganggu keharmonian masyarakat berbilang kaum adalah perkara serius.
Semua pengendali dan pengguna platform diingatkan supaya bertanggungjawab dalam memastikan keharmonian antara kaum dan agama di Malaysia terpelihara serta mematuhi undang-undang negara.
Terdahulu, tiga penyampai radio Era FM—Nabil Ahmad, Azad Jasmin, dan Radin—terpalit kontroversi selepas sebuah video tular menunjukkan mereka didakwa mempersendakan tarian kavadi, sebuah ritual suci dalam perayaan Thaipusam.
Susulan itu, mereka telah membuat permohonan maaf secara terbuka dan bertemu dengan pihak berkaitan bagi menjelaskan bahawa tindakan tersebut tidak berniat menghina mana-mana pihak.








