Lelaki rempuh penuntut Unisza disahkan pesakit mental | The Reporter

Lelaki rempuh penuntut Unisza disahkan pesakit mental

Kenyataan Polis Kuala Terengganu menafikan dakwaan pemandu Honda Jazz meninggal dunia dan memandu kereta curi serta memaklumkan suspek pesakit mental.
Gambar tular di media sosial menujukkan kawasan lokasi kemalangan.

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Polis menafikan dakwaan di media sosial bahawa pemandu Honda Jazz yang terlibat dalam kemalangan maut di Lampu Isyarat Jalan Kemajuan, Kuala Terengganu pada Isnin telah meninggal dunia.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, pemandu berkenaan, Mohd Izudin bin Zakaria, sebaliknya mengalami kecederaan patah tangan kanan serta luka ringan di badan dan kini sedang menerima rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).

Menurut beliau, kemalangan itu mengakibatkan pemandu Perodua Viva, Allahyarhamah Syakirah Hanan binti Mazli, meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala Mohd Izudin cedera.

Azli turut menafikan dakwaan bahawa kenderaan Honda Jazz yang dipandu suspek merupakan kereta curi, sebaliknya disahkan milik adik suspek sendiri hasil semakan rekod Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

“Suspek tidak meninggal dunia seperti yang didakwa di media sosial dan kenderaan Honda Jazz yang dipandunya juga bukan kenderaan curi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Bagaimanapun, siasatan awal mendapati sebelum kemalangan berlaku, suspek dipercayai telah menceroboh masuk ke dalam sebuah Honda City yang diparkir di kawasan Stadium Darul Iman dan mencuri beberapa barangan termasuk wang tunai RM200.

Tambahnya, suspek kemudian kembali ke Honda Jazz sebelum memecut keluar ke jalan raya dan terlibat dalam kemalangan tersebut, seperti yang dirakam kamera papan pemuka (dashcam) dan tular di media sosial.

Baca juga:
Suspek disahkan pesakit mental

Azli memaklumkan, suspek juga mempunyai rekod rawatan psikiatri dan telah disahkan menghidap Major Depressive Disorder (MDD) sejak Januari 2025.

Sehubungan itu, orang ramai khususnya pengguna media sosial dinasihatkan agar menghentikan sebarang spekulasi dan penyebaran maklumat tidak sahih sebagai tanda menghormati perasaan serta privasi keluarga mangsa, selain memberi ruang kepada polis menjalankan siasatan secara menyeluruh, telus dan profesional.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan suspek akan ditahan bagi membantu siasatan lanjut.

Related Posts