Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Seorang hakim kanan Israel yang terlibat dalam pengendalian perbicaraan kes rasuah melibatkan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, maut dalam kemalangan jalan raya pada Ahad lalu ketika menunggang motosikal.
Mangsa, Benny Sagi, yang memegang jawatan Presiden Mahkamah Daerah Beersheba disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian selepas motosikalnya dirempuh sebuah kenderaan di Lebuhraya 6, berhampiran Kfar Menachem, timur Ashdod.

Pasukan perubatan Magen David Adom memaklumkan mangsa mengalami pelbagai kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Menurut polis Israel, siasatan awal mendapati sebuah kenderaan yang dipandu dari kawasan luar jalan secara tiba-tiba memasuki lebuh raya sebelum melanggar motosikal yang ditunggang mangsa. Siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.
Baca juga:
- AS tarik balik tarif import terhadap lapan negara Eropah
- Arab Saudi umum penemuan emas 8 juta auns pada 2025
- Garuda Indonesia nafi rekrut wanita menyamar pramugari Batik Air
Sagi dilantik sebagai pemangku Presiden Mahkamah Daerah Beersheba pada Jun 2024 sebelum disahkan ke jawatan tetap pada April 2025. Beliau mempunyai pengalaman luas dalam badan kehakiman, termasuk pernah berkhidmat di Mahkamah Majistret Tel Aviv dan Mahkamah Daerah Tel Aviv, selain terlibat dalam bidang akademik undang-undang.
Pemergian mangsa mencetuskan reaksi pelbagai pihak. Presiden Israel, Isaac Herzog, menyifatkan Sagi sebagai seorang hakim berkaliber tinggi, berintegriti dan disegani, manakala Ketua Hakim Mahkamah Agung Israel, Isaac Amit, berkata seluruh badan kehakiman terkejut dan berdukacita dengan kehilangan itu.
Menteri Kehakiman Israel, Yariv Levin pula menyifatkan kematian Sagi sebagai satu kehilangan besar kepada sistem kehakiman negara, sambil menegaskan sumbangan beliau dalam memperkukuh keyakinan awam terhadap institusi mahkamah.
Untuk rekod, Sagi terlibat dalam urusan kehakiman berkaitan perbicaraan kes rasuah, penipuan dan pecah amanah yang sedang dihadapi Netanyahu, sebuah kes berprofil tinggi yang mendapat perhatian antarabangsa.
Sagi meninggalkan seorang isteri, seorang anak perempuan dan dua anak lelaki.
Sumber: Times of Israel, The Jerusalem Post








