Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Seorang penuntut Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Syakirah Hanan Mazli, 25, maut dalam kemalangan selepas kereta dipandunya dirempuh sebuah kereta yang sedang menuruni bukit berhampiran simpang empat, Jalan Kemajuan, Kuala Terengganu, tengah hari tadi.
Menurut laporan, mangsa yang berasal dari Taman Perdana Ayer Hitam, Johor, dalam perjalanan ke Jalan Bukit Kecil kira-kira jam 1.38 tengah hari, membelok ke kanan selepas lampu isyarat bertukar hijau. Ketika itu, sebuah kereta dipandu seorang lelaki yang sedang menuruni bukit melanggar kenderaan mangsa.
Komander Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Terengganu, Mohd Salleh Abdullah, berkata pihaknya mengambil masa kira-kira 20 minit untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit.
“Kita terpaksa memastikan keadaan mangsa bebas daripada aliran elektrik selepas tiang elektrik tumbang akibat dirempuh. Pembersihan aliran petrol juga dilakukan sebelum menggunakan peralatan khas untuk mengeluarkan mangsa,” katanya.
Baca juga:
- Budaya Yeye: ‘Kalau berlaku pada zaman saya, saya sudah tampar’ – MP Ketereh
- Laporan EAIC bongkar kes pasport terbang, 20 pegawai Imigresen dipecat
- Petinju Muay Thai maut dirempuh trak pikap semasa joging
Syakirah Hanan yang merupakan pelajar Fakulti Pengajian Kontemporari Islam (FKI) disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan mayat diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut.
Menerusi rakaman tular, kelihatan kereta yang dipandu lelaki berkenaan memecut kenderaan dan melanggar lampu isyarat merah sebelum merempuh kereta mangsa.
Difahamkan, ketika kejadian, mangsa dalam perjalanan ke JPNT untuk membuat permit mengajar bagi menjalani latihan mengajar pada bulan tiga nanti.
Sumber: Harian Metro








