Lelaki meninggal dunia selepas cabut 23 batang gigi, pasang 12 implan pada hari yang sama - The Reporter

Lelaki meninggal dunia selepas cabut 23 batang gigi, pasang 12 implan pada hari yang sama

JINHUA, ZHEJIANG – CHINA – Seorang lelaki meninggal dunia selepas 13 hari menjalani pembedahan pergigian. Pembedahan tersebut melibatkan 23 giginya dicabut dan pemasangan 12 implan pada hari yang sama.

Kes ini mula terbongkar selepas anak perempuan mangsa yang dikenali sebagai, Shu, mendedahkan kejadian yang menimpa bapanya di media sosial.

Menurut Shu, bapanya, Huang, menjalani prosedur tersebut di Hospital Pergigian Yongkang Deway, pada 14 Ogos lalu. Berdasarkan borang persetujuan yang ditandatangani, doktor menggunakan kaedah ‘pemulihan segera’ di mana 23 gigi pesakit akan dicabut dan 12 implan akan dipasang dalam satu prosedur.

Namun, selepas pembedahan, Huang dilaporkan mengalami kesakitan yang berterusan. 28 Ogos, Huang tiba-tiba mengalami serangan jantung dan meninggal dunia.

“Saya tidak pernah menyangka bapa saya akan pergi begitu cepat. Dia tak sempat memandu kereta baru yang kami beli untuknya,” kata Shu.

Shu bagaimanapun tidak mendedahkan usia bapanya dan berapa kos keseluruhan prosedur pembedahan pergigian itu. Berdasarkan harga terkini, satu implan pergigian di hospital ialah 1,500 yuan (RM917).

Pihak berkuasa kesihatan dari Biro Kesihatan Bandar Yongkang berkata, pihaknya sedang menjalankan siasatan dan mengambil kira jarak 13 hari selepas mangsa menjalani prosedur pembedahan pergigian itu.

Sementara itu, Pengarah Pusat Perubatan Pergigian di Hospital Universal Love di Wuhan berkata, tiada panduan rasmi mengenai jumlah gigi yang boleh dicabut dalam satu masa. Tetapi kebiasaannya maksimum gigi yang boleh dicabut dalam satu masa adalah 10 batang gigi.

Mencabut 23 batang gigi adalah satu jumlah yang banyak. Ia memerlukan prosedur klinikal dan doktor berkelayakan serta berpengalaman mencukupi untuk menjalani pembedahan tersebut. Selain itu, adalah penting untuk mempertimbangkan keupayaan fizikal pesakit unttuk menangani prosedur sedemikian.

Berita ini telah menimbulkan persoalan ramai di media sosial. Seorang individu berkata, “Mencabut 23 batang gigi dalam satu hari? Bagaimana mereka boleh mempertimbangkan untuk berbuat demikian? Saya pernah meminta dua gigi bongsu dicabut pada masa sama, tetapi doktor menolak”. – Agensi

Total
0
Shares
Related Posts
Total
0
Share
error: Content is protected !!