Dibayar RM200 buat ‘content’, lelaki kostum duyung ditahan pihak berkuasa | The Reporter

Dibayar RM200 buat ‘content’, lelaki kostum duyung ditahan pihak berkuasa

Lelaki kostum duyung dibayar RM200 ditahan pihak berkuasa selepas video promosi air balang tular
Lelaki kostum duyung dibayar RM200 kini disiasat pihak berkuasa susulan video promosi air balang yang mencetuskan kontroversi ketika Ramadan | Gambar tular di media sosial

Seorang lelaki berusia 24 tahun yang tular berpakaian kostum duyung di sebuah gerai air balang ditahan pihak berkuasa bagi membantu siasatan selepas videonya mencetuskan kontroversi.

Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, lelaki terbabit mengaku menerima bayaran RM200 daripada pemilik gerai bagi menghasilkan kandungan promosi jualan.

Menurutnya, suspek ditahan di rumahnya di Kampung Chetok, Pasir Mas sebelum dibebaskan dengan bon jaminan selepas keterangan diambil, dan perlu hadir semula pada 8 Jun.

Baca juga:

“Siasatan dibuka mengikut Seksyen 19 dan 20 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Kelantan kerana berpakaian seperti wanita dan perbuatan tidak sopan,” katanya.

Video berdurasi 26 saat itu sebelum ini tular apabila memaparkan lelaki berkenaan berjoget di hadapan gerai air balang dipercayai di Pengkalan Chepa, sekali gus menerima kecaman netizen kerana dimuat naik ketika Ramadan.

Sementara itu, peniaga terlibat diarahkan memadam iklan berkenaan, manakala kerajaan negeri memberi peringatan agar promosi tidak melampaui batas demi menarik pelanggan.

Sumber: Harian Metro

Related Posts