Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Perbuatan seorang wanita Muslim yang secara terbuka makan dan minum ketika membuat siaran langsung di TikTok pada bulan Ramadan akhirnya memakan diri apabila dia ditahan pihak berkuasa agama Negeri Sembilan untuk siasatan lanjut.
Rakaman yang dipercayai dibuat bagi meraih perhatian pengikut itu mencetuskan kemarahan ramai, selepas ia tersebar luas dan menerima ribuan kecaman daripada netizen yang menganggap perbuatannya mencabar sensitiviti umat Islam.
Video tular, pihak agama masuk campur
Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS), Datuk Mohd Asri Abdullah berkata, pihaknya mengambil tindakan segera selepas satu hantaran yang dimuat naik pada 23 Februari lalu menjadi tular.
Menurut beliau, siaran langsung tersebut dibuat sekitar jam 6.45 petang pada 22 Februari, ketika wanita berkenaan sedang berinteraksi secara aktif dengan pengikutnya.
“Hasil siasatan mendapati individu terbabit melakukan perbuatan makan dan minum secara terbuka sepanjang siaran langsung berlangsung,” katanya dalam satu kenyataan.
Baca juga:
- JPNPP siasat dakwaan murid Tahun Dua dipukul dengan pembaris
- ‘Zamri Vinoth, Tamim Dahri larikan diri ke Thailand’ – KPN
- Stadium Nasional Bukit Jalil kini TM Stadium Nasional, Stadium Putra jadi Unifi Arena
Ditahan untuk bantu siasatan
Susulan siasatan awal, wanita itu ditahan kira-kira jam 12 tengah hari di kediamannya di Kuala Pilah bagi merakam keterangan dan membantu siasatan lanjut.
Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 50 Enakmen Jenayah Syariah Negeri Sembilan 1992 melibatkan kesalahan menghina atau mencela agama Islam.
JHEAINS menegaskan tindakan itu diambil bukan sekadar untuk menguatkuasakan undang-undang, tetapi sebagai mesej jelas bahawa agama tidak boleh dijadikan bahan konten demi populariti.
Demi ‘view’, sanggup gadai sensitiviti
Dalam era media sosial, tekanan untuk meraih tontonan dan perhatian sering mendorong segelintir individu bertindak melampaui batas.
Namun, insiden ini membuktikan bahawa kandungan yang menyentuh isu agama dan maruah masyarakat bukan sahaja mengundang kecaman, malah boleh membawa implikasi undang-undang.
Orang ramai khususnya umat Islam diingatkan supaya lebih berhemah dalam menghasilkan kandungan, terutama ketika bulan Ramadan yang menuntut disiplin, adab dan rasa hormat.
Sumber: Harian Metro








