Seorang pemandu teksi dari Sutton, London, mendakwa kehidupannya musnah selepas menerima vaksin Moderna pada 2022. Terry Omara, 60, sebelum ini sihat dan aktif, malah mampu berjalan sejauh maraton setiap dua hari ketika menjaga ibunya yang sudah berusia.
Terry pernah bertarung melawan Long Covid pada 2020, termasuk pneumonia dan sepsis, sebelum pulih sepenuhnya setahun kemudian. Namun, selepas suntikan vaksin Moderna, beliau mendakwa mula mengalami keletihan melampau dan kesakitan berterusan sehingga sukar menjalani rutin harian.
“Saya rasa seperti dilanggar kereta. Kesakitan itu berterusan, dan keletihan ini tidak pernah hilang,” katanya memetik laporan Daily Mail.
Sejak disahkan menghidap Sindrom Keletihan Kronik (CFS), Terry hanya mampu mandi sekali seminggu dan terpaksa berhenti hidup berdikari. Beliau kini tinggal bersama ibunya di Wallington kerana terlalu lemah untuk menguruskan diri sendiri.
Terry memaklumkan sebelum ini beliau pernah menerima vaksin Pfizer dan AstraZeneca tanpa mengalami kesan sampingan. Namun, selepas vaksin Moderna, tahap kesihatannya merosot teruk.
Dalam masa sama, kajian terbaru oleh penyelidik Universiti Yale turut menemui sindrom baharu dikenali sebagai ‘post-vaccination syndrome’ yang dikaitkan dengan gejala seperti kabur minda, pening, tinnitus dan ketidakupayaan melakukan aktiviti fizikal.
Pakar bebas menggesa kajian lebih mendalam dijalankan untuk memahami sejauh mana sindrom ini merebak dan siapa yang berisiko.








