Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Malam tadi berakhirlah Muzikal Lawak Superstar 5 (MLS5) yang menyaksikan kumpulan Nanas, dianggotai Achey, Namie dan Shashic, dinobatkan sebagai juara.
Setiap minggu, kumpulan Nanas mempamerkan persembahan lawak yang konsisten, mencuit hati serta dibantu dengan penggunaan prop kreatif.
Namun, kemenangan itu tidak datang dengan mudah. Pelbagai cabaran dan usaha telah dilalui demi mencapai kejayaan berkenaan.
Menerusi hantaran di Instagram, Achey berkongsi bahawa prop yang digunakan dalam setiap persembahan di MLS5 adalah hasil tangan mereka sendiri. Menurut Achey, ia memberikan satu kepuasan peribadi buatnya.
“Perjalanan aku dalam Nanas. Kenapa aku buat benda ni? Kepuasan. Penat? Biasalah tu, layan je sebab minat,” katanya.
Baca juga:
- Pelakon Kung Fu Hustle, Bruce Leung meninggal dunia pada usia 77 tahun
- ‘Siapa kita nak kata haram atau halal? – Fasha Sandha bidas pempengaruh TikTok
- Bekas pelakon kanak-kanak dakwa jadi mangsa serangan seksual sejak kecil
Achey turut memaklumkan bahawa dia tidak tidur hampir 24 jam kerana menyiapkan prop pada malam final tersebut.
Memetik laporan Astro Gempak, kumpulan Nanas mendedahkan bahawa kos persiapan persembahan, termasuk prop sepanjang MLS5 berlangsung, mencecah lima angka.
Namie pula menjelaskan bahawa mereka memilih untuk menghasilkan prop sendiri kerana tidak mahu menyusahkan mana-mana pihak selain sukar untuk mendapatkan prop yang benar-benar diinginkan.
MLS5 nyata membawa tuah kepada kumpulan Nanas apabila mereka membawa pulang hadiah wang tunai RM150,000 beserta trofi. Sementara itu, kumpulan Roda yang dianggotai Fad, Sharif dan Naqiu berada di tempat kedua dengan hadiah wang tunai RM75,000 beserta trofi.
Kumpulan Kimbab, satu-satunya kumpulan wanita yang dianggotai Zulin Aziz, Nasz Sally dan Maryam Kimchi, meraih tempat ketiga dengan hadiah RM50,000 beserta trofi. Tempat keempat pula menjadi milik kumpulan Puteh, dianggotai Ali Puteh, Mamak Puteh dan Aretoy, dengan hadiah wang tunai RM25,000 berserta trofi.








