Kucing hilang 4 bulan ditemui di negara lain, lebih 480km dari rumah | The Reporter

Kucing hilang 4 bulan ditemui di negara lain, lebih 480km dari rumah

Kucing comel bermata biru dengan lidah terjulur sedang baring santai atas katil
Inilah Luna, kucing yang hilang selama empat bulan sebelum ditemui semula lebih 480km dari rumah tuannya

Seorang wanita di United Kingdom tidak menyangka kucing kesayangannya yang hilang sejak empat bulan lalu akhirnya ditemui — bukan di kawasan berdekatan, tetapi di sebuah bandar jauh di Scotland.

Sophie Carty, 25, mengalami detik paling mencemaskan apabila kucingnya, Luna, hilang dari rumah mereka di Darlington lewat tahun lalu. Carty berusaha keras mencarinya, termasuk memuat naik hantaran di pelbagai kumpulan Facebook bagi mendapatkan bantuan orang ramai.

Namun selepas berbulan-bulan tanpa sebarang petunjuk, dia mula berputus asa dan menganggap Luna sudah tiada harapan untuk ditemui.

Namun, segalanya berubah bulan lalu apabila Carty menerima satu panggilan telefon daripada sebuah klinik veterinar yang memaklumkan Luna telah ditemui, lebih 480 kilometer dari rumahnya, di Inverness, Scotland. Identiti Luna dikenalpasti melalui cip mikro yang ditanam pada badannya.

“Saya terus menangis dan tanya di mana dia. Bila doktor beritahu dia di Inverness, saya betul-betul terkejut,” katanya memetik laporan The Independent.

Menurutnya, Luna ditemui di kawasan taman sebuah hotel dan dibawa ke klinik selepas kelihatan terlalu kurus dan lemah. Tanpa berlengah, Carty terus keluar dan memandu sejauh enam jam untuk menjemput Luna pulang.

“Dia sangat letih dan seperti lumpuh pada bahagian belakang badannya. Tapi selepas ke klinik, diberi antibiotik dan ubat tahan sakit, dia kembali ceria,” jelas Carty.

Kini Luna mula pulih secara beransur-ansur dan semakin aktif, malah lebih manja berbanding dahulu.

“Dia bangun dan bergerak dengan bantuan kami, dan nampak gembira dapat balik ke rumah. Dia asyik minta dibelai,” katanya sambil bergurau, mungkin Luna ‘bercuti’ sepanjang dia hilang.

Related Posts