Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Seekor kucing gemuk terselamat selepas terjatuh dari tingkat enam bangunan kediaman kondominium di Bangkok yang memecahkan cermin belakang sebuah kenderaan yang diletakkan di kawasan kejadian.
Apabila pemilik kenderaan itu mendapati pelakunya adalah seekor kucing gemuk dengan berat badannya 8.5 kilogram, dia dengan berbesar hatinya memaafkan haiwan itu.
Apiwat Toyothaka turut berkongsi mengenai kejadian yang menimpa kucing diberi nama Shifu itu di Facebooknya pada 27 Mei lalu.
“Pengurus kondominium menelefon saya pada jam 7 pagi dan memaklumkan seekor kucing terjatuh di atas kereta saya. Saya macam hairan kenapa perlu beritahu saya? Kucing jatuh atas kereta hanyalah perkara biasa.
“Selepas saya mendapat gambaran sebenar dan melihat sendiri kejadian itu, barulah saya faham,” katanya.
Gambar-gambar yang dikongsikan pada hantaran itu menunjukkan Shifu tidak mengalami sebarang kecederaan. Tetapi cermin belakang kenderaan milik Apiwat kelihatan berlubang dan pecah.
Pengurus kondominium, Orrasa berkata, dia mendapat makluman mengenai kejadian itu pada jam 7.30 pagi lalu bergegas ke lokasi dan mendapati ada serpihan kaca di lantai dan seekor kucing tabby yang gemuk di bawah kereta.
Selepas memeriksa rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan menyoal saksi, Orrasa berkata kucing itu terjatuh daripada tingkat enam ke tingkat tiga, kemudian jatuh ke kereta. Kucing itu bernasib baik kereta ia terjatuh di tingkat tiga sebelum terjatuh ke tingkat bawah.
Malangnya, kondominium itu mempunyai polisi yang melarang penghuninya membela haiwan peliharaan yang ketat dan disebabkan itu mereka terpaksa mengeluarkan denda 1,000 baht (RM132) terhadap pemilik kucing berkenaan.
Sementara itu, Apiwat mendedahkan dia tidak marah terhadap Shifu dan pemiliknya kerana kemalangan itu bukan sesuatu yang dijangkakan. Lebih-lebih lagi dia juga merupakan seorang pencinta kucing dan meminta orang ramai tidak menyalahkan Shifu dan pemiliknya.
Apiwat turut berkongsi gambar x-ray dan keadaan terkini Shifu kepada pengikutnya kerana ramai yang menyuarakan kebimbangan terhadap Shifu.




“Shifu berjalan dengan baik, makan minum, buang air seperti biasa. Tiada kesan luka atau lebam kecuali ketiadaan dua kukunya,” katanya.
Sumber: Thaiger








